JAKARTA – Syarikat pengendali teksi dipanggil untuk disoal siasat berikutan laporan yang sebuah teksi terbabit dalam urutan kejadian yang menyebabkan perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, yang mengorbankan 15 orang.
Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Aan Suhanan berkata pihak pengurusan syarikat teksi e-panggilan Green SM Indonesia dipanggil untuk memberikan penjelasan.
“Kami menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat lebih lanjut pembabitan teksi Green SM, termasuk aspek pelesenan, kelengkapan pentadbiran, piawaian keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan operasi pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut laporan media, perlanggaran itu berpunca daripada sebuah teksi yang berhenti di atau berhampiran lintasan kereta api, mengganggu pergerakan tren sebelum insiden berlaku pada Isnin .
Laporan itu menyatakan sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah tren jarak jauh di landasan yang sama.
Aan berkata, teksi terbabit didaftarkan secara sah dan mempunyai permit operasi yang sah sehingga Oktober 2026, namun pihak berkuasa akan menjalankan audit lanjut terhadap sistem pengurusan keselamatan syarikat itu.
