Tandas awam kita bersih selagi berbayar

BUKAN terletak di KLCC tetapi di salah satu kawasan yang turut menjadi tumpuan ramai. Tidak setinggi bayaran tandas awam di KLCC tetapi ‘cuma atau hanya’ RM1. Terkejut juga dengan kadar itu. Apa pun apabila masuk ke tandas itu baru-baru ini, bolehlah dianggap berbaloi dengan  kebersihannya. Apa yang tidak berbaloi ialah tujuan ke tandas itu sekadar mahu membasuh tangan dan muka, bukan untuk menunaikan hajat. Dalam erti kata lain, mahu mempersiapkan diri sebelum bertemu seseorang di pejabat berkenaan. Sama ada satu kelainan atau sama di tempat lain, sebaik melangkah masuk, pintu tandas dikunci dari luar. Jika mahu keluar, tekanlah butang supaya pintu dibuka oleh penjaga. Diharapkan semasa terkunci di dalam, jika ada orang lain masuk, tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Maklumlah, penyangak atau penjenayah sentiasa mencari idea baharu untuk melakukan kegiatan mereka. Semoga tidak ada kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau suasana di dalam tandas itu.

Isunya bukan soal keselamatan pengguna tandas tetapi bagaimana kebersihannya terjamin disebabkan bayaran. Jika tidak, tandas akan terbiar kotor. Adakah suatu masa nanti, semua tandas akan dikendalikan oleh syarikat khusus yang akan menguruskan segala aspek kebersihan serta menaik taraf tandas dengan kadar bayaran yang ditetapkan? Tandas adalah sesuatu yang sangat penting. Setiap orang normal dipercayai akan ke tandas lima atau enam kali sehari. Bagaimanapun ada yang mungkin terbantut ke tandas apabila tandas tidak bersih akibat tidak diselenggara dengan baik, lebih-lebih lagi tandas percuma. Contohnya di restoran, kedai makan malahan masjid dan surau. Tidak dinafikan masih ada tandas percuma yang bersih. Contohnya di hentian rehat dan rawat (R&R) sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Percuma untuk pengguna tetapi pengendali lebuh raya yang perlu membayar kosnya.

Jika diambil kira kadar tol yang dikenakan, mungkin ia tidak mampu membayar kos masuk ke tandas seperti di luar. Ramai yang beranggapan kadar tol sudah termasuk kos ke tandas. Nak mandi percuma pun boleh di lebuh raya. Bayangkan jika tidak ada kontraktor yang mencuci tandas di lebuh raya dan membiarkan pengguna menggunakannya mengikut ‘selera’ atau ‘sikap’ masing-masing. Bagaimana agaknya bau tandas?

Kata orang, keadaan tandas awam mencerminkan sikap masyarakat sesebuah negara. Semakin kotor tandas awamnya maka semakin rendahlah tahap kebersihan dalam minda setiap ahli masyarakat. Maka apabila berkunjung ke tandas seperti ini, kenyataan itu tidak terpakai kerana kebersihan berlaku disebabkan upah yang diberikan kepada kontraktor pembersih. Pelancong yang berkunjung ke tandas berbayar tidak boleh membuat andaian mengenai tahap mentaliti rakyat negara ini. Pelbagai usaha masih perlu dilakukan untuk memastikan kebersihan tandas awam di negara ini terutama yang bayaran masuknya masih murah sama ada RM0.20 sen, RM0.30 atau RM0.50 sen. Banyak yang sudah dilakukan untuk memperbaiki tahap kebersihan tandas ini, cuma ia berlaku bukan atas kerelaan pengguna. Apabila berbayar, mereka akan menggunakannya sesuka hati kerana pada tanggapan mereka ada pihak yang akan melakukan pembersihan.

Adakah sikap ini terbawa-bawa kepada tandas awam percuma? Kebanyakan orang tidak peduli pengguna seterusnya disebabkan pengguna sebelum itu tidak menjaga kebersihan. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pernah mengadakan kempen penjagaan tandas At Washroom We Care atau ringkasnya @WARE. Objektif kempen ialah “Prihatin Pengguna Seterusnya” (Care For Next User). Sikap kebanyakan orang, sebaik sahaja masuk ke tandas yang tidak terurus, maka mereka juga terbawa-bawa dengan sikap tidak peduli tentang kebersihan. Etika pengguna amat penting. Jangan disebabkan sudah tidak terurus, pengguna menambah ‘kesengsaraan’ tandas berkenaan. Bagi mengingatkan masyarakat, pelbagai kempen kesedaran penjagaan tandas awam sudah diadakan. Namun apakah ia meninggalkan impak dalam memupuk sikap menjaga kebersihan tandas awam?

Bagaimana pendidikan kepada anak-anak dalam menjaga kebersihan tandas di rumah seterusnya di sekolah? Di samping mengenakan bayaran, ingatan dan teguran perlu dibuat. Eloklah pekerja atau kontraktor yang diberi tanggungjawab menjaga kebersihan tandas bersedia menegur pengguna yang tidak berdisiplin semasa menggunakan tandas. Sama ada petugas itu warga Bangladesh, Indonesia atau siapa sahaja, apa yang penting ialah ingatan supaya sama-sama menyumbang kepada kebersihan tandas. Biar orang luar yang bertanggungjawab membersihkan tandas itu ‘menyekolahkan’ warga tempatan yang tidak prihatin dengan kebersihan adalah tanggung-jawab bersama! Penguatkuasaan seperti ini bukan terhad di tandas awam berbayar atau sebaliknya tetapi juga di pejabat atau di sekolah. Di sekolah isu tandas kotor sudah lama berlaku.

Vandalisme di tandas juga dilaporkan. Di pejabat juga, jika tidak ada kontraktor pembersih, tidak pasti sejauh mana tahap kebersihannya. Kerosakan di dalam tandas sudah lumrah. Paip air rosak, pam tidak berfungsi, kunci pintu rosak, penyangkut pakaian hilang dan macam-macam lagi. Kebersihan tandas juga harus dinilai dari dinding, pintu dan lantainya. Dinding dan pintu harus bebas dari contengan perkataan dan lukisan yang memualkan. Malu jika pelawat berkunjung, ada ayat-ayat yang menghentam majikan, kata-kata lucah dan sebagainya. Lantai jangan dikotori dengan tisu, tuala wanita, kotak rokok kosong, surat khabar dan puntung rokok.

Ingatlah, tandas walaupun tempat kotor, ‘hodoh’ untuk membuang najis dan dikatakan tempat syaitan, tetapi tidak sepatutnya ditambah ‘kekotorannya’ dengan bau hancing, najis tidak dipam, dan sebagainya. Adab masuk ke tandas bagi orang Islam antara lain termasuklah memastikan tandas dalam keadaan bersih sebelum keluar. Amat jelas Islam agama yang mementingkan kebersihan. Justeru, umat Islam dianjurkan menjaga kebersihan meskipun ia hanyalah tandas.

Seperti kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar, masih banyak tandas awam di negara ini tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Kita perlu ingat, setiap yang kita lakukan pada hari ini akan memberi impak kepada bandar serta tempat tinggal kita pada masa akan datang. Kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang, sebaliknya kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita, “ katanya.

Tidak jatuh martabat seseorang jika mengambil berat soal kebersihan tandas. Baru-baru ini, seorang sahabat mengirim ceramah melalui WhatsApp yang turut ada kaitan dengan tandas. Mungkin ramai yang tahu menge-nainya. Ia berkaitan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang bukan sahaja datang ke masjid untuk beribadat tetapi pada suatu awal pagi turut mencuci tandas. Ditanya kenapa mencuci tandas, Allahyarham berkata, “Saya sedang mencuci sifat sombong…sebagai menteri besar’’.

UMA130317010C#

Related posts

Leave a Comment