Makanan, bukan sekadar halal tetapi jaminan kebersihan

SEPANJANG minggu lalu, isu halal haram menjadi tumpuan masyarakat Islam. Sekali sekala isu ini timbul menyebabkan masyarakat semakin prihatin mengenai status halal barangan makanan mereka seharian. Malangnya ia sekadar dikaitkan dengan makanan, tidak meliputi beberapa perkara lain yang menjadikan makanan halal bertukar sebagai haram.

Hakikatnya, konsep halal haram ini amat luas. Banyak perkara atau tindakan yang dilakukan tidak mengikut hukum hakam Islam yang akhirnya membawa kepada apa yang kita makan itu haram walaupun mempunyai status halal. Mungkin kita lupa atau sengaja buat-buat tidak tahu mengenai bagaimana kita memperoleh pendapatan sama ada secara sah atau tidak sah. Tanpa kita sedari banyak perkara yang dilakukan dalam tugasan harian menjerumuskan kita kepada perbuatan yang terlarang.

Pernahkah kita bertanya, sejauh mana dalam tugasan harian, kita memenuhi tuntutan majikan. Adakah dalam melakukan kerja seharian, kita sebenarnya ‘mencuri tulang’ dengan melakukan kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan tugasan harian. Berapa jam sebenarnya kita bekerja? Begitu juga dengan tindakan mengambil atau menggunakan kemudahan tertentu di pejabat untuk memenuhi keperluan peribadi. Banyak lagi yang boleh diperdebatkan mengenai halal haram ini.

Disebabkan makanan yang menjadi tumpuan, eloklah dibincangkan soal makanan. Pada kebiasaannya, orang mudah membuat kesimpulan makanan itu haram selepas dikaitkan dengan DNA babi dan tidak mempunyai sijil pengesahan halal yang sah.

Umat Islam amat sensitif apabila disebut babi atau khinzir. Kebanyakan orang sama ada Islam atau bukan Islam menganggap hanya babi makanan yang diharam dalam Islam. Dulu, pernah sebuah akhbar menyiarkan iklan berbuka puasa yang memaparkan hidangan babi di sebuah hotel sempena promosi berbuka puasa. Melompat masyarakat Islam ketika itu.

Tumpuan mereka kepada babi tetapi tidak kepada perkara seperti haiwan lain yang haram dimakan serta isu penyembelihan melibatkan haiwan seperti lembu, ayam dan kambing. Adakah bekalan ayam dan daging benar-benar halal? Begitu juga halal yang berkait rapat dengan penyediaan makanan lain untuk masyarakat Islam di tempat yang sama di mana babi dijadikan hidangan.

Adakah kita tahu apa yang ada di sebalik dapur restoran atau hotel yang menyediakan menu terutama untuk berbuka puasa ini? Jika di restoran termasuk di hotel mempunyai daging babi, apakah jaminan peralatan yang sama untuk memasak babi tidak digunakan untuk masakan lain?

Sudah menjadi amalan orang kita yang akan lebih berhati-hati ketika mencari makanan halal semasa berkunjung ke luar negara tetapi apabila berada di dalam negara, mereka yakin 100 peratus dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melakukan pemantauan. Masalahnya selama mana Jakim dapat melakukan pemantauan sepanjang masa?

Masih banyak lagi produk makanan atau minuman yang tidak mempunyai tanda halal atau kesahihannya boleh diragui yang tidak diberi perhatian. Mungkin masyarakat Islam sendiri sudah keliru kerana banyak berlaku pemalsuan sijil halal dengan pelbagai bentuk dan rupa sehingga mereka lupa logo sebenarnya. Asal tertera perkataan halal pada bungkusan makanan atau minuman, mereka dapat menerimanya walaupun ia sebenarnya logo palsu yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

Akhirnya, saban hari entah berapa banyak sesuatu yang ‘haram’ itu masuk ke dalam badan kita disebabkan sama ada tidak ada logo halal, logo halal palsu atau sengaja tidak ambil peduli soal halal haram. Itu baru makanan tidak lagi perbuatan kita yang menjurus ke arah `haram’.

Orang kita akan lebih mudah percaya dengan nama-nama yang bercirikan Melayu dan Islam.

Maka tidak hairanlah ada pengeluar barangan makanan dan minuman mengambil kesempatan menggunakan imej atau lambang yang mencerminkan pengeluarnya adalah orang Melayu Islam sekali gus meyakinkan pengguna mereka tentang status halal produk berkenaan.

Contohnya menggunakan gambar masjid, kubah, sejadah, songkok, tudung dan sebagainya. Begitu juga dengan perkataan-perkataan tertentu yang menampakkan ciri-ciri keislaman. Tidak mustahil juga penggunaan nama orang Melayu Islam sebagai jenama sedangkan pengeluarnya bukan Islam. Tidak salah jika jenama itu benar-benar mendapat sijil halal tetapi bagaimana jika sebaliknya? Ada juga yang menggunakan tulisan jawi untuk menambah keyakinan pengguna. Dalam hal ini, pihak berkuasa yang meluluskan pendaftaran nama produk syarikat-syarikat ini perlu memberi perhatian supaya pengguna tidak tertipu. Kita tidak mahu lambang tertentu menggantikan ‘halal’.

Di samping status halal yang mengelirukan, satu perkara lagi yang tidak diambil peduli oleh kebanyakan pengguna ialah mengenai kebersihan ketika proses penyediaan makanan dilakukan. Memang realitinya, bungkusan nampak cantik tetapi jika diselak semula proses penyediaannya, ternyata amat menjijikkan. Siapakah yang akan melihat sejauh mana pengeluar memberi perhatian terhadap keselamatan makanan sama ada ketika penyediaan dan penyimpanan termasuk bahan mentah?

Begitu juga dengan tahap kebersihan dan kesihatan diri pengendali makanan, kebersihan peralatan dan perkakasan. Sejauh mana etika pakaian setiap pengendali makanan? Adakah tanpa berbaju, sekadar berseluar pendek sambil tangan memegang rokok yang sememangnya difatwakan haram. Adakah kawasan tempat penyediaannya bebas daripada serangga seperti tikus, lipas, lalat, haiwan peliharaan dan sebagainya? Amat malang jika persekitaran yang kotor dan jijik ini menghasilkan produk ‘halal’.

Menyentuh tentang aspek penyediaan makanan, perkara yang turut tidak diberi perhatian kerana ia bukannya berkaitan babi ialah ramuan dalam bahan makanan. Berapa ramai dalam kalangan kita peduli dengan kandungan yang tertera pada bungkusan makanan atau keperluan harian lain. Jika ada pun mungkin terperangkap dengan istilah yang mengelirukan. Misalnya bahan makanan atau kegunaan harian yang menggunakan alkohol atau lemak/minyak babi. Keadaan yang sama berlaku di restoran. Disebabkan di luar restoran sudah tertera logo halal, maka ramai yang tidak kisah dengan apa yang disediakan. Tidak ramai yang ambil peduli suasana di bahagian dapur yang gagal memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.

Kita percaya menjelang Ramadan akan datang, isu ini sekali lagi akan menjadi perhatian masyarakat Islam untuk melangkah kaki berbuka puasa di restoran atau hotel. Harus diingat, halal atau haram bukan sekadar makanan yang sudah terhidang di depan mata tetapi harus mengambil kira juga kaedah penyediaannya.

UMA160614010C#

Related posts

Leave a Comment