BAITULMAQDIS: Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel, beberapa hari mengancam akan berbuat demikian, meletakkan sistem pertahanan udara Israel dalam keadaan berjaga-jaga.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, ketika mengesahkan demikian berkata, Iran melancarkan dron dari wilayah mereka dan menuju ke Israel.
Menurutnya, tentera udara dan laut Israel turut diarah bersiap sedia manakala pihak tentera akan terus memantau keadaan.
Dalam pada itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan Iran telah melancarkan berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke Israel, selepas Israel berkata Tehran telah memulakan serangan.
IRGC berkata pada hari Sabtu bahawa ia telah melepaskan dron dan peluru berpandu di bawah operasi “Janji Sejati”, sambil menambah bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada hukuman untuk “jenayah Israel”.
Sementara itu, agensi berita Iran, melaporkan kumpulan pertama peluru berpandu balistik telahpun dilancarkan ke arah Israel.
Israel, yang menyifatkan serangan Iran itu menandakan peningkatan yang mendadak dan berbahaya mendakwa Iran melancarkan lebih 100 dron dan peluru berpandu dan sesetengah daripadanya dipintas di ruang udara Syria dan Jordan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sedang menghimpunkan kabinet perangnya serta membatalkan lawatan sekolah serta kegiatan sekolah yang lain yang dirancangkan sepanjang tempoh beberapa hari akan datang.
Israel meletakkan angkatan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya bagi menghadapi serangan oleh Iran.
Nnn
