Bendera politik ‘tenggelamkan’ Jalur Gemilang

HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat ‘habuan’ untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemam-puan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.

Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan men-cecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.

Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.

Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga ‘menyembah’ bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.

Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.

Suasana tentunya lebih ceria dengan ru-mah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat….kibarkan, kalau tak dapat…tak apa, biar orang lain kibarkan. Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Air melimpah di Selangor?

KETIKA menghadiri satu tazkirah di sebuah surau baru-baru ini, seorang penceramah membangkitkan tentang harta awam. Seperti biasa, banyaklah yang disenaraikan sebagai harta awam yang perlu dijaga oleh orang ramai. Dan yang menariknya apabila beliau menyebut dua harta awam kurniaan Allah iaitu udara dan air. Kita bebas menghirup udara tanpa sebarang se-katan. Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa udara itu haknya dan mengawal untuk dirinya. Begitu juga dengan air. Tetapi air yang dirawat tidak lagi menjadi harta awam. Maka kita perlu membayar perkhidmatan untuk merawat air itu. Bagaimana pula air tanpa dirawat? Ianya sudah tentu menjadi hak awam. Contohnya air sungai, air laut, air tasek, air lombong dan macam-macam lagi. Air ini mungkin percuma, tidak perlu dibayar! Dan mereka yang mahu menggunakan air daripada sumber ini berhak sama ada mahu ‘merawat’ atau menggunakannya terus termasuk untuk diminum tanpa ‘rawatan’. Selamatkah air ini? Tetapi air yang sudah dirawat dan kemudiannya dibeli oleh Syarikat Beka-lan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) perlu dibayar oleh pengguna.

Isu air di Selangor menjadi semakin panas ketika ini. Sebagai pengguna, ramai yang resah jika berlaku catuan air lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan serta menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. Penggunaan air pada musim perayaan ini tentunya lebih tinggi. Pen-duduk Selangor atau Lembah Klang tertanya-tanya apakah pelan menghadapi krisis air ini. Kenapa tiba-tiba Syabas menjadi mangsa. Kenapa kerajaan negeri tiba-tiba mahu mengambil alih Syabas? Isu pokok yang harus diberi perhatian sekarang ialah bekalan air terawat bukan soal air melimpah.

Baru-baru ini lidah rasmi kerajaan negeri, Selangor Kini melaporkan pada muka depannya berita Tujuh empa-ngan di Selangor mencatat lebihan be-kalan air. Kesimpulannya air di Selangor melimpah, seolah-olah boleh menenggelamkan Selangor. Tetapi hari ini, berlaku kekurangan air. Pihak ber-kuasa tempatan terpaksa menghantar lori tangki air ke beberapa kawasan bagi membekalkan air bersih. Kenapa? Sebenarnya, bekalan air untuk keperluan rakyat bukan semudah mencedok dari telaga. Kalau begitu, air Sungai Klang pun boleh dicedok begitu sahaja untuk kegunaan harian. Kerajaan negeri PKR perlu memandang ke hadapan bukan setakat keperluan hari ini, esok atau lusa. Rakyat Selangor atau di Lem-bah Kelang bukannya semakin berkurangan tetapi terus bertambah. Adakah pada masa depan, Selangor terpaksa membeli air dari negeri lain? Apakah harga air ketika itu?

Dalam hal ini kerajaan Negeri Sem-bilan sedang menyiapkan pembinaan Empangan Sungai Triang dan Loji Rawatan Air Sungai Ngoi-Ngoi. Dan Menteri Besarnya, Mohamad Hasan berkata, apabila siap, ia mampu menghasilkan lebihan air bersih. Mungkin Selangor boleh menjadi pembelinya.

UMA300712012C001

Related posts

Leave a Comment