Korbankan ideologi kepartian demi kelangsungan agama

UMAT Islam di seluruh dunia ketika ini sedang bertakbir, bertasbih dan bertahmid, memuji kebesaran Allah sempena Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Pada masa yang sama, mereka juga melakukan ibadah korban. Tetapi suasana di Tanah Suci Mekah tentunya lebih bermakna bagi jemaah haji. Syukurlah satu persatu perkara wajib haji sedang disempurnakan oleh tiga juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk 28,000 jemaah dari Malaysia.

Dari Padang Arafah ke Muzdalifah, kemudian bermalam di Mina seterusnya melontar tiga jamrah sebelum kembali ke Mekah. Semoga cabaran dan dugaan yang dihadapi para jemaah di sana dapat ditempuhi dengan tabah serta mereka memperoleh haji mabrur. Sesungguhnya banyak cabaran di sana yang menuntut kesabaran kita sebagai umat Islam.

Tabung Haji (TH) telah melakukan persediaan sebaik mungkin untuk memastikan perjalanan ibadah haji berlangsung dalam keadaan selesa dan sempurna. Bermula dengan tabungan sedikit demi sedikit, kursus haji, penerbangan hinggalah menjejakkan kaki di dua Tanah Suci Mekah dan Madinah, TH setiap tahun akan cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah negara kita.

Justeru sekiranya ada sedikit ketidakselesaan, anggaplah ia sebagai ujian untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Misalnya jika ditinjau di Kompleks Haji Kelana Jaya, masih banyak yang perlu diberi perhatian apabila pada harihari tertentu, kompleks itu menerima jemaah yang terlalu ramai ditambah pula sanak saudara yang ingin mengucapkan selamat jalan kepada anggota keluarga mereka.

Lebihl-lebih lagi apabila terdapat beberapa penerbangan yang hampir serentak. Selain menampung keperluan jemaah Lembah Klang serta sekitarnya, ada juga jemaah yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Mereka tidak mendapat tempat penerbangan dalam negeri sendiri dan terpaksa ke Kelana Jaya untuk meneruskan penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Mungkin ketika itu, akan timbul suasana tidak selesa terutama di khemah menunggu yang turut menempatkan sanak saudara lebihlebih lagi pada hari hujan.

Begitu juga dengan ruang solat yang tidak mencukupi kerana menampung jemaah dan keluarga yang ramai. Ada juga yang datang dari luar Kuala Lumpur tidak mendapat bilik penginapan lebih awal dan terpaksa menunggu lebih lama di khemah atau memilih menyewa bilik hotel berhampiran.

Biar apa pun kelemahan dan kekurangan yang ada, apa yang penting, jemaah kita selamat sampai di Tanah Suci dan dapat mengerjakan Rukun Islam yang kelima itu. Bersyukurlah kerana kali ini mereka dipilih menjadi tetamu Allah. Masih ramai yang menunggu dan terus menunggu.

Dan bagi yang tidak berupaya ke sana sama ada kerana tidak berkemampuan atau masih dalam senarai menanti, Aidiladha juga disambut dengan penuh kesyukuran. Bagi yang mampu digalakkan melakukan ibadah korban mulai semalam dan pada hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Mereka boleh melakukan penyembelihan binatang ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau. Daging diagihkan kepada fakir miskin dan juga dinikmati bersama masyarakat setempat. Di samping melakukan ibadah korban di dalam negara, ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan ibadah itu di negara-negara yang umat Islamnya dalam keadaan amat memerlukan seperti di Kemboja dan Palestin.

Justeru bagi yang berkemampuan perlu bersedia untuk mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membantu mereka yang memerlukan di mana saja mereka berada di bumi Allah ini.

Diharapkan pengorbanan yang dilakukan ini tidak sekadar ketika menyambut Hari Raya Aidiladha sebaliknya berterusan.

Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak sempena perutusan Aidiladha kelmarin, kesatuan ummah merupakan pengajaran terpenting dalam sambutan Aidiladha.

Semua umat Islam yang melakukan ibadat haji diwajibkan berkumpul di satu tempat dengan niat yang satu dan mengucapkan talbiah, tahmid, zikir yang sama yang jelas menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang bersatu. Mereka menghadap kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah SWT.

Justeru, dalam mempertahankan agama, umat Islam perlu bersatu. Ketika berhadapan dengan usaha-usaha yang boleh menggugat kedudukan Islam khususnya, kita perlu bersatu. Lihatlah perhimpunan di Arafah misalnya, umat Islam tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kaum berkumpul dengan satu tujuan. Semuanya berpakaian sama – putih bersih. Ketika itu, semuanya mengenepikan fahaman atau ideologi masing-masing. Inilah perpaduan yang perlu ada di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Dan dalam mempertahankan agama Islam, kita seharusnya bersedia untuk ‘berkorban’. Lupakan sengketa yang boleh merosakkan bangsa, agama dan negara. Korbankan ideologi politik masingmasing demi kepentingan agama. Letakkan akidah sebagai ideologi. Jangan kerana politik kita sanggup mengorbankan agama. Jangan kerana politik kita sanggup mempermainkan agama sehingga agama Islam diperkecilkan oleh orang lain. Korbankan ideologi untuk menarik lebih ramai umat kepada jalan Allah. Tanyalah diri sendiri bagaimana perpaduan di kalangan masyarakat bukan Islam dalam menghadapi sesuatu isu? Adakah mereka juga bercakaran dalam memperjuangkan kepentingan mereka? Tentunya jarang dilihat mereka berselisih pendapat.

Mereka sama ada akan berdiam diri atau berkecuali (mungkin juga tanda sokongan) sekiranya timbul sesuatu isu yang boleh meresahkan umat Islam.

Mereka juga tetap bersatu menghadapi isuisu kepentingan bersama berbanding umat Islam yang lebih terarah kepada fahaman kepartian.

Apakah umat Islam kita semakin berpecah belah? Justeru biar apa pun mazhab kita, parti politik kita dan prinsip kita, jangan sekalikali korbankan agama untuk kepentingan puak atau diri sendiri. Jangan kita dihanyutkan oleh keegoan. Cukuplah umat Islam menjadi mangsa ‘penyembelihan’ musuhmusuhnya. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Selamat Hari Raya Aidiladha.

UMA071111008C001

Related posts

Leave a Comment