Kapal bukan musuh boleh lalui Selat Hormuz

TEHRAN – Iran membenarkan kapal tangki minyak berstatus ‘bukan musuh’ melalui Selat Hormuz, dengan syarat mematuhi peraturan keselamatan dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Tehran.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Iran kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Ahad lalu dan diedarkan kepada negara anggota dan badan bukan kerajaan (NGO) semalam, Selat Hormuz selamat untuk kapal bukan musuh.

Bagaimanapun, Tehran memberi amaran bahawa kemudahan itu tidak terpakai kepada aset yang mempunyai kaitan dengan pihak yang dianggap sebagai ‘penceroboh’ iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang bertindak memulakan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

“Peralatan kapal dan sebarang aset milik pihak penceroboh — iaitu Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel serta sekutu mereka, tidak layak mendapat pelepasan bagi kategori laluan ‘bukan musuh’,” tegas kementerian itu lagi.

Iran turut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas AS dan Israel terhadap sebarang gangguan, ketidakstabilan, atau peningkatan risiko di laluan air kritikal tersebut.

Sejak serangan membabitkan AS dan Israel yang mencetuskan konflik pada 28 Februari lalu, Iran bertindak menutup hampir keseluruhan laluan di selat berkenaan, sekali gus menyebabkan harga minyak dan gas dunia melonjak naik secara mendadak.

Selat Hormuz sebelum ini menguruskan sekitar satu perlima bekalan minyak dunia.

Dengan kenaikan kos penghantaran dan harga minyak global, Iran kini cuba menyeimbangkan kepentingan ekonominya sambil mengekalkan tekanan terhadap pihak yang dianggap musuh.

Akses bebas pelayaran di Selat Hormuz juga menjadi salah satu perkara utama dalam pelan damai 15 perkara yang dibangunkan Amerika Syarikat dan dihantar kepada Iran melalui Pakistan.

Sementara itu, di BANGKOK Menteri Luar , Sihasak Phuangketkeow, berkata

Thailand mendapat kebenaran daripada Iran bagi membolehkan sebuah daripada kapal tangki minyaknya melalui Selat Hormuz susulan penyelarasan antara kedua-dua negara.

Katanya, Kementerian Luar menyerahkan nama dua kapal – satu milik Bangchak Corporation dan sebuah lagi dikendalikan oleh SCG Chemicals – kepada pihak berkuasa Iran.

Beliau berkata, Iran sudah memberikan pelepasan kepada kapal tangki minyak Bangchak untuk melalui Selat Hormuz dan kembali ke Thailand.

“Difahamkan, kelmarin (23 Mac) kapal Bangchak selamat melepasi Selat Hormuz dan kini dalam pelayaran pulang ke Thailand.

Pihak berkuasa Thailand juga sedang mengusahakan kebenaran sama untuk kapal SCG Chemicals selepas menyerahkan butiran berkaitan kepada Iran,” katanya kepada pemberita dalam satu taklimat media semalam.

Mengenai usaha membantu tiga anak kapal warga Thailand daripada kapal kargo Mayuree Naree, Sihasak berkata, pihak berkuasa masih berharap ketiga-tiga warga negara itu masih hidup, namun pengesahan perlu diperoleh daripada pegawai Iran atau Oman.

“Pihak berkuasa telah sampai ke kapal terbabit dan berjaya menghubungi ketiga-tiga anak kapal, walaupun keadaan mereka masih belum dapat disahkan dan sedang dalam proses pengesahan,” katanya.

Pada 11 Mac lalu, kapal kargo yang mengibarkan bendera Thailand itu diserang di Selat Hormuz, menyaksikan 20 anak kapal berjaya diselamatkan manakala tiga lagi dilaporkan hilang.

Menurut laporan, kapal tangki Mayuree Naree berlepas dari Pelabuhan Khalifa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan dalam pelayaran ke Pelabuhan Kandla di Gujarat, India, apabila ia terkena bedilan yang mencetuskan letupan di bahagian buritan dan bilik enjin serta mengakibatkan kebakaran.

Nnn

Related posts

Leave a Comment