TAJUK Selak minggu ini tidak ada kena mengena dengan masalah moral atau politik tetapi berkaitan isu pengangkutan awam. Entah kali ke berapa tulisan mengenai isu ini dibangkitkan khususnya melibatkan perkhidmatan komuter. Tetapi untuk 2011, ini kali pertama. Itu pun disebabkan tidak banyak perubahan terhadap perkhidmatannya kecuali wajah stesen, koc wanita dan beberapa lagi yang di luar keperluan mendesak pengguna iaitu sesak di dalam koc. Memang ada perkembangan positif terhadap kereta api termasuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Kuala LumpurIpohKuala Lumpur dan laluan komuter lebih ‘panjang’.
Di utara, Tanjong Malim menjadi hentian terakhir manakala di selatan, tidak lama lagi hentian akhirnya di Sungai Gadut, Negeri Sembilan. Menjelang Ogos 2012, landasan kereta api elektrik itu akan siap hingga ke Gemas. Dari Sungai Gadut, penumpang boleh terus ke stesen Rembau, Pulau Sebang (Tampin), Batang Melaka dan Gemas. Kos projek sepanjang 98 kilometer ini dianggarkan RM3.45 bilion. Apabila siap, orang Gemas sama seperti orang Ipoh, boleh berulang alik bekerja di Kuala Lumpur. Orang ramai pastinya mengalungalukan usaha Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini. Tetapi janganlah seperti kata orang nafsu besar tenaga kurang.
Maksudnya ketika KTMB ghairah meneroka perjalanan lebih jauh janganlah dilupakan perkhidmatan yang ada. Kata orang kalau merenung bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Tolong jenguk sama perkhidmatan komuter yang sering menjadi rungutan. Pengguna dah letih merungut. Kesesakan teruk di dalam koc masih berlaku.
Semalam dan kelmarin penulis berkesempatan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Komuter jadi pilihan kerana PWTC boleh diakses dengan mudah melalui pengangkutan awam sama ada komuter atau transit aliran ringan (LRT). Bermula di Bangi, tren sudah penuh, tidak
ada tempat duduk. Bermakna berdirilah menempuh perjalanan lebih kurang 50 minit ke stesen Putra. Seperti dijangka, di setiap stesen yang bakal ditempuh kecuali Salak Selatan dan Seputeh, ramai penumpang menunggu iaitu di UKM, Kajang, Serdang, Bandar Tasek Selatan, Mid Valley, KL Sentral dan KL.
Ketika melangkah masuk ke koc sekitar 3.35 petang, dialog ini kedengaran: ‘‘Panas…selalu i kena sesak macam ni’’. Itu rungutan seorang pelajar perempuan keturunan Cina sebuah kolej perubatan (berdasarkan pakaian seragam) kepada dua rakannya (sepatutnya mereka memasuki koc wanita yang sudah penuh). Memang panas apabila sistem pendingin hawa tidak berfungsi. Kata pelajar kolej itu lagi: ‘‘Nak jimat elektrik ni’’.
Sebenarnya ini bukan soal jimat elektrik tetapi memang rosak. Penumpang terpaksa berkipas. Isu tidak ada airconditioned atau tidak berfungsi bukanlah masalah baru. Maka dalam keadaan sesak yang teramat sangat, penumpang berpeluh. Ada satu ketika pemandu koc membuat pengumuman meminta penumpang yang panas berpindah ke koc lain. Tetapi apakah pilihannya jika koc lain juga sesak macam ikan sardin dalam tin?
Turut menjadi rungutan ialah sistem tiket. Memang pelbagai inisiatif diambil untuk kemudahan penumpang. Mereka digalakkan menggunakan tiket mingguan, tiket dua hala atau Touch’nGo (TnG). Tetapi berapa ramai yang akan memilih kaedah ini? Lihat sahaja penggunaan TnG di tol. Ada yang memiliki kereta berjenama dan mahal tetapi ‘tidak mampu’ menyimpan TnG, sanggup beratur di plaza tol. Ini salah satu sikap orang kita yang masih belum berubah.
Rungutan mengenai tiket komuter pula termasuklah kaunter tutup (bukan di KL Sentral), mesin tiket rosak atau berfungsi tetapi hanya menerima jumlah tambang secukupnya. Maknanya kalau tiket RM4.10 maka janganlah masukkan RM1 ke lima untuk menambah 10 sen. Bagaimana jika penumpang tidak ada syiling 10 sen? Bersediakah naik komuter tanpa tiket dan jika dicekup dikenakan denda RM30? Satu kaedah yang boleh dipakai ialah jika stesen yang akan dilalui mempunyai tambang genap contohnya RM2, maka ambillah tiket pada harga itu dan pandailah menjawab jika ditanya pemeriksa tiket. Tiada niat menipu tetapi ini tindakan terbaik daripada terlepas komuter lebihlebih lagi jika itu komuter terakhir!
Petang kelmarin, di stesen Putra berhampiran PWTC, ramai yang terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket di kaunter. Ada tiga mesin tetapi hanya dua berfungsi. Satu kaunter tambahan juga dibuka.
Sekitar pukul 9.10 malam pula, ketika mahu pulang, suasana sudah berubah. Kaunter tiket pun dah tutup. Daripada tiga mesin tiket, hanya satu yang berfungsi.
Dan ini dialog seorang penumpang lelaki keturunan India: ‘‘Belum pukul 10, kaunter dah tutup. inilah public transport kita. Menyusahkan orang’’
Beliau menambah: ‘‘Apa salahnya kalau dah tahu ada acara (pesta buku) bukalah kaunter, mudahkan orang. Inilah KTM’’.
Penulis hanya tersenyum kerana di tangan penulis dan anakanak sudah tersedia TnG.
Tetapi bagaimana kalau mesin itu juga ada masalah penerimaan TnG? Pemegang TnG juga belum pasti selamat. Bukan setakat mesin tiket, pada waktu tertentu mesin penerima tiket untuk keluar masuk juga bermasalah. Tidak berfungsi!
Pengalaman perit pengguna komuter sebenarnya tidak dirasai pemimpin politik atau peneraju perkhidmatan ini. Mungkin mereka pernah meninjau dan menaiki komuter tetapi jauh sekali merasai keadaan sebenarnya. Justeru ruangkan sedikit masa mendengar rungutan mereka. Kepada KTMB, tolonglah tengok isuisu yang masih belum selesai.
*Pengumuman tren lewat, tidak mengikut jadual dan dibatalkan adalah amat menyakitkan. Akibatnya penumpang menunggu lebih lama dan jumlahnya meningkat dalam tempoh itu di setiap stesen. Sediakanlah tren khas untuk menyelamtkan keadaan ini.
*Tempoh menunggu 30 minit terlalu lama. Susun semula jadual pada waktu puncak – sebelah petang hingga ke malam. Begitu juga ketika berlangsung acara tertentu di lokasi berhampiran stesen komuter.
*Menambah jumlah koc dari tiga kepada enam untuk memberi keselesaan kepada penumpang lebihlebih lagi satu koc hanya khusus untuk wanita.
*Sistem tiket yang sedang diperbaiki diharap lebih mudah dan cekap. Mungkin menggenapkan tambang dapat mengurangkan masalah wang kecil di mesin tiket.
*Penyelenggaraan koc perlu diberi perhatian supaya tren tidak dianggap ‘uzur’ hanya disebabkan tidak ada pendingin hawa yang benar-benar ‘sejuk’.
*Tunjukkan sikap mesra pelanggan. Ada ketikanya tren shuttle berlepas kosong dari stesen akhir hanya kerana tidak ada pengumuman.
Akhirnya pada kesempatan ini, Selak ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada pekerjapekerja yang saban hari berulangalik ke tempat kerja menggunakan komuter. Hari ini anda berehat tetapi esok bersedialah untuk ‘bertarung’ semula dengan sistem pengangkutan awam anda – komuter!
UMA020511011C001