Tumpang semangkuk, ‘kembang’ semangkuk

JUMAAT lalu, pelbagai pihak terus bertungkus lumus mahu menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir. Menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan pelbagai agensi berada di Kaherah dan Jeddah untuk membantu. Pada hari yang sama juga rakyat Mesir terus mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur. Pada perhimpunan yaumul rohil atau hari pengunduran itu, mereka terus mengadakan demonstrasi besar-besaran.

Kuala Lumpur turut terasa tempias. Tiba-tiba sahaja di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, ada demonstrasi jalanan pada Jumaat lalu. Masalah di Mesir tetapi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) jadi sasaran.

Tetapi pada masa yang sama, selepas solat Jumaat, ada juga yang buat solat hajat termasuk yang dihadiri Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Masjid Negara. Eloklah kita mengadakan majlis solat hajat dan berdoa semoga rakyat Malaysia di Mesir selamat. Begitu juga doa supaya rakyat Mesir tanpa mengira fahaman politik serta seluruh insan yang ada di bumi para Anbia itu dalam keadaan selamat. Apa yang penting kedamaian manusia di negara itu.

Kekacauan di Mesir bukan sahaja menyusahkan rakyat negara itu sendiri tetapi juga rakyat dari negara-negara luar sama ada pelajar, pekerja atau pelancong. Kita di Malaysia turut bimbang dan resah apabila kekacauan berlaku di Mesir. Jika perkara yang sama berlaku di Malaysia, begitu jugalah perasaan rakyat negara luar yang anak-anak atau saudara mereka berada di sini sama ada untuk belajar, bekerja atau melancong.

Satu lagi pengajaran yang dapat dilihat akibat kemelut yang melanda, tentunya Sungai Nil, piramid dan pelbagai lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong berada dalam keadaan sepi. Agensi pelancongan negara kita juga terasa tempiasnya dengan pembatalan lawatan ke negara itu. Sudah pastilah banyak gedung perniagaan yang sering menerima kunjungan para pelancong menanggung kerugian. Begitulah kesan daripada rusuhan yang dicetuskan oleh rakyat negara itu sendiri. Kita juga terasa tempiasnya kerana terdapat ramai pelajar Malaysia di sana. Ibu bapa tidak kira fahaman politik UMNO, Pas, PKR yang anak-anak mereka sedang belajar di seluruh pelosok negara itu resah gelisah memikirkan keselamatan di rantau orang.

Mujurlah kerajaan tidak berdiam diri. Pelbagai usaha dibuat melalui Ops Piramid bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu.

Kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia, Malaysia Airlines (MAS), Tabung Haji, Kelab Putera 1Malaysia dan sebagainya menunjukkan keprihatinan mereka selaras dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

DEMONSTRASI di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Jumaat lalu berhubung kemelut di Mesir.

Malangnya ada juga pihak yang seolah-olah tidak senang dengan usaha kerajaan. Mereka tumpang semangkuk kemelut di Mesir tetapi lebih kepada menangguk di air keruh. Mereka menyebarkan khabar angin dan melemparkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ada yang katakerajaan lambat bertindak dan mengenakan bayaran untuk membawa pulang rakyat kita. Dan seperti dijangka sikap tumpang semangkuk dan menangguk di air keruh ini berlaku dalam usaha mencari keuntungan politik. Ada pula yang mengaitkan pemerintahan Hosni Mubarak dengan sistem pemerintahan di negara kita.

Sepatutnya, semua pihak harus menyokong usaha yang sedang dilakukan kerajaan dan tidak bertindak menyongsang arus. Jangan politikkan apa yang berlaku di Mesir. Bukan mudah untuk mengatur pelan menyelamat. Ia tidak semudah pergi ke sana bermodalkan air liur segalanya boleh selesai. Mujurlah hubungan baik Malaysia dengan Mesir serta Arab Saudi membolehkan segala urusan lancar walaupun masih banyak kerenah birokrasi. Bersyukurlah kerana Jeddah dan Kaherah tidak menutup lapangan terbang kepada Kuala Lumpur. Sebenarnya, memang ada puak yang suka ambil kesempatan ke atas isu yang boleh dijadikan modal politik untuk ‘membelasah’ kerajaan.

Ketika anak-anak muda kita di seluruh Mesir bertungkus lumus mahu menyelamatkan diri, anak-anak muda kita di Malaysia pula mengadakan demonstrasi, membaling botol ke arah kedutaan AS. Entah apa puncanya. Apakah ia satu keseronokan atau kepuasan dapat tumpang semangkuk suasana gawat di Mesir? Sudahlah tumpang semangkuk, tindakan yang dilakukan pula seperti kembang semangkuk atau lebih sudu daripada kuah. Mungkin lebih baik anak-anak muda itu menganjurkan aktiviti yang lebih berfaedah seperti bagaimana mahu membantu menampung kos yang ditanggung kerajaan walaupun kerajaan tidak akan meminta rakyat terutama ibu bapa berbuat demikian. Semua kos kerajaan tanggung!

Tidak pasti apakah tujuan sebenar demonstrasi itu. Adakah mereka mahu menuntut AS tidak campur tangan dalam urusan di Mesir? Kalau itu tujuannya, baguslah. Urusan dalam negara, tidak perlu diundang orang luar terutama AS untuk selesaikan. Kita harap kumpulan ini akan tampil jika ada puak yang mengundang AS campur tangan dalam urusan politik dalaman disebabkan kepentingan politik orang tertentu. Janganlah pula dalam keghairahan mendesak AS supaya tidak campur tangan, ada pula poster yang meminta Hosni Mubarak berundur. Secara tidak langsung mereka ini pun cuba campur tangan dalam urusan dalaman Mesir. Jadi janganlah menempelak orang lain sedangkan diri sendiri pun sudah tidak tetap pendirian.

Bukan mahu membela AS atau sebaliknya tetapi sejak awal lagi AS sudah meminta Mubarak berundur sebagai jalan keluar kemelut yang sedang melanda negara itu. Sama ada AS bersandiwara atau sebaliknya, itu soal lain tetapi AS juga ‘bimbang’ dengan apa yang berlaku di Mesir. Justeru apakah yang dikehendaki oleh demonstrasi jalanan itu?

Memang pelik orang kita. Cepat kalut. Asal ada peluang dan ruang, mereka turun di jalanan ‘mengganggu’ ketenteraman awam walaupun ketika rakan-rakan kita masyarakat Cina masih menyambut Tahun Baru Cina. Apa yang diharapkan selepas ini, bertindaklah secara rasional bukannya terlalu emosional. Kata orang khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan. Kalau mahu tumpang semangkuk, biarlah kena pada isunya, jangan main hentam sahaja. Janganlah kekalutan di Mesir terbawa-bawa ke negara kita. Ingat sama hak orang lain. Di laluan itu – Jalan Tun Razak ada banyak hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Bagaimana agaknya ketika anda sedang ‘mengganggu’ lalu-lintas di situ, saudara mara anda sedang ‘bertarung nyawa’ di dalam ambulans atau dalam perjalanan ke hospital terperangkap di dalam kesesakan yang puncanya daripada perbuatan anda? Pikirlah.

Pikir itu pelita hati. Langit berkelikir, bumi bertemberang; salah-salah fikir menjadi hamba orang. Ingat juga peribahasa Melayu cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.

Terima kasih kerajaan 1Malaysia!

UMA070211007C001

 

Related posts

Leave a Comment