ISTANBUL – Prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdepan ancaman yang tidak pernah dialaminya sebelum ini ketika menyambut ulang tahun ke-80, organisasi itu semalam.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres merujuk kepada krisis berterusan di mana orang awam menjadi sasaran dan undang-undang antarabangsa dipijak di Gaza, Ukraine, Sudan dan lain-lain, sementara kemiskinan serta kebuluran meningkat.
“Ketika ini, prinsip PBB diserang seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Guterres dalam ucapannya di Perhimpunan Agung sempena ulang tahun berkenaan.
Mengenai cabaran iklim, Guterres berkata, “Planet ini terbakar, dengan kebakaran, banjir dan suhu panas mencatat rekod akibat kekacauan iklim.”
Beliau turut mengingatkan kembali kejayaan PBB, termasuk pembasmian penyakit cacar, pemulihan lapisan ozon dan usaha mengelakkan perang dunia ketiga.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran dunia kini bergerak ke arah multipolar tanpa institusi multilateral yang kuat, mewujudkan risiko serupa dengan yang dihadapi Eropah semasa Perang Dunia Pertama.
“Untuk menangani cabaran ini, kita bukan sahaja perlu mempertahankan PBB, malah memperkukuhkannya,” katanya.
Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock pula mengenang detik penandatangan Piagam PBB pada 26 Jun 1945, yang disifatkannya sebagai “ikrar bukan untuk membawa kita ke syurga, tetapi untuk memastikan kita tidak lagi diseret ke neraka oleh kebencian dan cita-cita tanpa batas.”
Beliau turut mengakui krisis semasa termasuk “kanak-kanak tanpa ibu bapa yang mencari makanan di runtuhan Gaza, perang berterusan di Ukraine, keganasan seksual di Sudan” serta konflik global lain.
“Kita tidak boleh memilih jalan mudah dengan menyerah kalah,” katanya, sambil menggesa keberanian untuk menghadapi masalah “dengan lebih baik bersama-sama.”, katanya.
