Selamat jalan Dr. Lim Chong Eu

SEMALAM, Tun Dr. Lim Chong Eu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung, Georgetown. Berakhirlah perjalanan politik bekas Ketua Menteri yang berkhidmat selama 21 tahun di Pulau Pinang. Sumbangannya kepada politik dan negara khususnya di Pulau Mutiara itu amat besar.

Penulis pernah berkhidmat di Pulau Pinang di bawah dua ketua menteri iaitu Chong Eu (1983-1987) dan Dr. Koh Tsu Koon (1991-1993). Dalam tempoh itu, penulis dapat mengenali serba sedikit mengenai Chong Eu. Saban minggu, mendiang akan memanggil wartawan ke pejabatnya untuk sidang akhbar mingguan. Ada ketika, tidak ada apa yang hendak dimaklumkan tetapi sekadar bertanya khabar dan pandangan wartawan mengenai apa yang berlaku di negeri di bawah pentadbirannya.

Pertemuan saban minggu itu lebih kepada bertukar-tukar fikiran dan mendapatkan maklum balas daripada pihak media.

Layanannya kepada wartawan amat mesra. Begitu juga dengan kakitangan lain termasuk setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar, pelayan pejabat dan pemandu yang pada ketika itu sudah menggambarkan komposisi 1Malaysia. Wartawan dan jurugambar akan naik ke tingkat 28 Komtar setiap minggu untuk menemui Ketua Menteri itu. Sebaik sahaja mengambil tempat duduk di dalam bilik sidang akhbar bersebelahan pejabatnya, Chong Eu akan memaklumkan apa yang hendak diumumkan. Jika tidak ada apa-apa, mendiang akan bertanya kepada wartawan apa yang hendak ditanya. Tidak sukar untuk mendapat komennya. Setiap kali berkunjung ke pejabatnya, pasti ada minum sekurang-kurangnya secawan kopi dan kuih. Jika tidak ada apa-apa yang hendak ditanya, mendiang membuka ruang untuk bertukar maklumat mengenai isu-isu tertentu. Jika terlewat sikit menemui wartawan, pelayan pejabatnya, lelaki India yang dikira seusia atau hampir sebaya dengannya akan keluar memberitahu ‘‘CM (Ketua Menteri) suruh minum dulu.’’ Mendiang tidak lokek dengan senyuman. Jarang melihat mendiang marah. Itulah Chong Eu yang dikenali. Merendah diri dan tidak sombong dengan jawatannya.
Bagi sesetengah wartawan veteran, mendiang akan mengingati nama wartawan berkenaan dan organisasi media yang diwakili. Bekas Ketua Biro Utusan Pulau Pinang, Allahyarham Mukmin Latiff adalah salah seorang daripada mereka yang mudah mendekati Chong Eu.

Sebenarnya banyak jasa bekas Ketua Menteri itu kepada Pulau Pinang.

Tidak dinafikan, mendiang turut memberi sumbangan kepada orang Melayu di negeri itu sepanjang 21 tahun perkhidmatannya. Ya, tidak dinafikan ramai juga meragui tetapi hakikatnya sumbangan mendiang kepada orang Melayu tidak boleh ditolak begitu sahaja. Maka tidak hairanlah sokongan UMNO kepada kerajaan negeri pimpinannya tidak pernah berbelah bahagi. UMNO sentiasa mencatat keputusan cemerlang dalam pilihan raya umum (PRU) semasa Chong Eu memimpin BN negeri.Di Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, mendiang cukup tenang menghadapi asakan pembangkang ketika itu termasuklah Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Satu lagi pengalaman menarik apabila penulis ditugaskan oleh ibu pejabat untuk membuat liputan PRU di Pulau Pinang pada tahun 1990. Ketika itu, DAP yang dipimpin Kit Siang selaku Setiausaha Agung, mengetuai projek Tanjung II bagi menawan negeri itu selepas gagal berbuat demikian pada tahun 1986 melalui Projek Tanjung I.
Pada PRU 1986, Kit Siang memenangi kerusi Parlimen Tanjong selepas menewaskan Tsu Koon. Beliau juga memenangi kerusi DUN Kampung Kolam. Pada 1990, Kit Siang mengambil keputusan untuk mencabar Chong Eu di Padang Kota yang juga terletak di kawasan Parlimen Tanjong.

Chong Eu tenang menghadapi cabaran itu. Dalam pertemuan dengan wartawan di bilik gerakan di ibu pejabat Barisan Nasional (BN), Chong Eu yang ketika itu sudah menjangkau usia 71 tahun tetap tenang dan membayangkan PRU itu sebagai penggal terakhir baginya.

Katanya: ‘‘Memang wajah saya dah tua, ini tidak boleh dilindungi tetapi saya tidak perlu membuat pembedahan plastik.’’

Ketika itu mendiang menjawab sindiran pembangkang yang mengatakan wajahnya nampak lebih tua jika dibandingkan calon BN Parlimen Tanjong, Boey Weng Keat.

Walaupun usianya dipersoalkan tetapi Chong Eu tetap bertenaga semasa mengharungi kempen seawal pukul 8 malam sehinggalah ke larut malam. Mendiang memulakan kempen selepas waktu pejabat dengan menemui penyokong dari rumah ke rumah atau mengunjungi peniaga-peniaga di kawasan Chowrasta.

Gelagatnya di pentas kempen turut menarik perhatian umum. Dalam satu kempen, mendiang menarik perhatian mengenai poster Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan semasa melaungkan merdeka yang berlatar belakangkan bendera Malaysia. Tajuk poster kempen DAP itu ialah Change! dan Tukar! yang turut diterjemahkan dalam bahasa Cina dan Tamil.

‘‘Tunku bukan kata tukar, tukar, tukar tetapi merdeka, merdeka, merdeka,’’ kata mendiang. Sebenarnya memang sukar bagi Chong Eu memimpin BN untuk menghadapi DAP pada tahun berkenaan. Pada PRU 1986, DAP melalui Tanjung I berjaya memenangi 10 kerusi sementara Gerakan (8), UMNO (12) dan MCA (3).

Agak sukar juga untuk diramalkan siapakah yang bakal kecundang apabila Chong Eu dicabar Kit Siang di Padang Kota. Ada yang menjangkakan Chong Eu akan tetap menang sebagai menghormati sumbangannya selama 21 tahun. Mendiang tidak mungkin diucapkan ‘selamat jalan’ melalui kekalahan di pentas PRU. Bagaimanapun dalam politik segalanya mungkin. Dan pada 21 Oktober 1990, Chong Eu terpaksa akur dengan kekalahannya sekali gus menamatkan ‘riwayat politiknya’.

Pada malam tersebut, di Dewan Sri Pinang, Chong Eu dan Kit Siang hadir untuk mengetahui keputusan. Kit Siang diisytiharkan menang dengan majoriti 706 undi. Chong Eu sambil tersenyum bersalam dan mengucapkan tahniah kepada Kit Siang sebelum meninggalkan dewan itu.

Mengulas kemenangan DAP memenangi 14 kerusi, Kit Siang berkata: ‘‘Pencapaian cemerlang DAP di Pulau Pinang adalah kejayaan tanpa keriangan kerana ia tidak dapat menguasai kerajaan negeri menerusi Projek Tanjung II.’’
Chong Eu pula yang mengulas kekalahannya berkata: ‘‘Saya tidak akan kembali berpolitik lagi. Ini muktamad.’’
Dan semalam, Dewan Sri Pinang sekali lagi mengucapkan selamat jalan kepada Chong Eu untuk selama-lamanya.
Takziah kepada keluarga mendiang. Jasa Chong Eu tetap dikenang.

UMA291110008C001-min

 

Related posts

Leave a Comment