Cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap

SEMAKIN kalut pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bukan kali pertama peristiwa kekalutan itu. Seperti diselak dua minggu lalu, kekalutan pernah berlaku sebelum ini. Ketika itu, ada yang pakat keluar ramai-ramai. Perasaan tidak puas hati masih menghantui ahli-ahli PKR. Sehingga hari ini pun, mereka termasuk yang kini di luar parti masih mencari-cari keadilan. Malangnya perasaan tidak puas hati itu tidak dipedulikan. Pemimpin PKR bagai ‘memekakkan telinga’. Tahun ini, masalah lama berulang malahan bertambah parah. Sudah banyak laporan dibuat tetapi tiada siapa peduli. Sekali lagi seperti dibangkitkan dua minggu lalu, bayangkan jika PKR menjadi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Kalaulah semasa pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU), laporan mengenai rasa tidak puas hati terhadap SPR boleh dihitung dengan jari tangan atau kaki. Tetapi dalam pemilihan PKR, jumlah aduan tidak mampu dihitung dengan jari.

Khabarnya aduan diterima tetapi tidak ada tindakan sehingga calon Timbalan Presiden, Zaid Ibrahim meninggalkan gelanggang.

Bukan media arus perdana yang mencipta cerita mengenai masalah pemilihan tetapi kegelisahan itu diluahkan sendiri oleh calon yang bertanding. Ahli PKR yang memantau pemilihan juga mengakui ada yang tidak kena dalam proses pemilihan. Persoalannya kenapa pemimpin PKR membisu seribu bahasa?

Ke mana suara lantang yang begitu kuat mengkritik SPR mengenai proses pengundian setiap kali pilihan raya? Janganlah cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar.

Ringkasnya cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap.

Inilah sandiwara politik. Ketika berkempen mereka sanggup menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk menang pilihan raya. Sedihnya ada yang termakan umpan pancing mereka. Memang mustahil bulan dan bintang akan jatuh ke riba. Kalau betul tak adalah peribahasa pungguk rindukan bulan.

Yang ada hanyalah bulan dipagar bintang.

Semasa kempen pilihan raya, mereka ghairah menabur janji. Kerajaan bersih, berkebajikan, bertanggungjawab, telus dan macam-macam lagi menjadi sebutan atau slogan. Tetapi cukupkah sekadar slogan?

Semasa kempen, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan diburukkan habis-habisan. Segala yang baik dilakukan BN cuba ‘dipadamkan’. BN dituduh zalim, rasuah, rampas hak rakyat, pembaziran, tidak telus dan macam-macam lagi.

Tetapi apa dah jadi setelah mereka mengambil alih kuasa? Jika laporan media arus perdana dipersalahkan atau dikatakan memutarbelitkan fakta, bagaimana pula dengan laporan oleh media alternatif? Bukalah blog yang memaparkan pelbagai kepincangan dan kerakusan oleh parti-parti yang mendapat kuasa politik ini. Adakah blog yang mengkritik mereka tidak boleh dipercayai?

Inilah sikap parti yang sering menyalahkan kerajaan BN seolah-olah pakatan mereka DAP-Pas-PKR sentiasa benar, bersih, telus, ikhlas, jujur dan macam-macam lagi yang enak didengar. Sedangkan dalam sesetengah isu, ia bagai tikus membaiki labu.

Selak kembali apa yang berlaku di Kedah.

Ketika banjir baru-baru ini, rakyat merungut. Kalau betul rungutan mangsa banjir seperti dilaporkan, maka apa yang dilakukan oleh kerajaan Pas Kedah? Ketika Menteri Besar, Azizan Razak meminta media bekerja cara Islam tetapi apakah yang dilakukan kerajaan negeri seperti dilaporkan RTM itu mengikut cara Islam? Inilah padahnya terlalu enak bermain kata-kata.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan pimpinan DAP begitu bangga dengan CAT. Apa dia CAT? CAT bukannya kucing. Bukan juga cat sejenis cecair berwarna yang disapukan pada dinding dan lain-lain untuk melindungi permukaannya untuk menjadikannya kelihatan elok. Tetapi CAT di Pulau Pinang ini membawa maksud cekap, akauntabiliti dan telus. Namun melihat perkembangan yang berlaku di Pulau Mutiara itu, apakah ia menggambarkan kerajaan CAT?

Selak semula beberapa isu yang berlaku sejak penguasaan pakatan DAP-PKR-Pas. Di mana kebebasan media? Apa pula nasib peniaga sama ada di Komtar dan gerai, tanah termasuk kampung di bandar dan pinggir bandar, pelancongan, agama dan dewan orang ramai?

Di Selangor juga ada CAT tetapi lain sikit namanya Selcat. Maksudnya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor.

Sejauh mana keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri pimpinan PKR ini?

Sekali lagi selak semula apa yang melanda negeri itu terutama melibatkan ‘wang’. Begitu juga dengan pendidikan. Contohnya apa jadi dengan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS)? Mereka tutup IKYS tetapi baru-baru ini orang mereka juga mahu ia dibuka semula. Apa cerita semua ini?

Ya… dalam politik semua boleh jadi. Hari ini kita bising menuding jari kepada orang lain tetapi esok lusa kita senyap sunyi. Lebih-lebih lagi setelah mendapat habuan jawatan pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat, harta mungkin tanah atau balak dan macam-macam lagi. Bak kata orang telunjuk lurus, kelengkeng berkait.

Begitulah politik. Kadangkala ia indah khabar dari rupa. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Bercakap memang mudah. Tetapi air liur hanya mampu untuk dijadikan modal politik tetapi belum mampu membela rakyat. Kesimpulannya ahli politik… janganlah seperti bagai tikus jatuh ke beras dan bagai tikus membaiki labu.

UMA221110006C001-min

 

Related posts

Leave a Comment