PRK: Pengundi Penanti menanti keputusan BN

BUKAN mengejutkan apabila Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti pada Khamis lalu. Sehari sebelum itu apabila Lim Guan Eng gagal mengumumkan nama penyandang Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Pulau Pinang bagi menggantikan wakil rakyat Penanti itu, sudah tersebar khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa Fairus sudah meletak jawatan. Malah SMS daripada orang Penanti itu berkata: ‘‘Permatang Pauh nak raya lagi’’. Katanya, pondok Pas dan PKR dah pun bersiap sedia nak sambut pilihan raya. Seperti yang pernah ditulis pada ruangan ini tahun lalu, khabar mengenai peletakan jawatan Fairus sudah kedengaran sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Desas-desus itu diperkuatkan lagi apabila pada 31 Ogos 2008, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim menegur Fairus kerana jarang ‘turun padang’ bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Teguran terbuka itu dibuat selepas Anwar mendapat maklum balas penduduk bahawa pemimpin muda PKR itu jarang kelihatan di kawasannya sejak memenangi pilihan raya umum Mac 2008. Fairus dikatakan berkecil hati kerana ditegur di khalayak dan itu menguatkan azamnya untuk berundur. Dan penantian untuk berbuat demikian akhirnya tiba.

Fairus memuktamadkan keputusan meletak jawatan kerana mahu memberi tumpuan terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah. Beliau juga mahu membersihkan nama baiknya dari segala tohmahan yang dilemparkan berikutan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tetapi jika beliau mahu berundur kerana mahu membersihkan namanya, kenapa sebelum dijatuhkan hukuman sudah ‘mengaku salah?’. Tunggulah keputusan SPRM terlebih dahulu supaya peletakan jawatan itu dilihat lebih bermaruah serta tidak diputarbelitkan oleh pihak lawan dengan pelbagai andaian.

Dan jika mahu melanjutkan pelajaran, alasan itu juga tidak boleh diterima akal seratus peratus. Ramai lagi wakil rakyat termasuk ahli Parlimen yang boleh belajar sambil menjadi wakil rakyat. Contohnya Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sambung belajar tetapi tidak mengorbankan kepentingan pengundi-pengundinya dengan meletakkan jawatan sehingga memaksa diadakan PRK.

Peletakan jawatan Fairus mungkin boleh diterima jika ia sudah terbukti bersalah dalam isu kuari yang dicetuskan oleh rakan-rakannya sendiri dalam PKR. Justeru dua alasan itu tidak dapat diterima kerana hakikat sebenar peletakan jawatan itu berlaku ketika Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang tercari-cari calon TKM I dari PKR. Maka meletak jawatan ketika isu TKM I timbul jelas memperlihatkan mainan politik parti pembangkang terutama PKR. Apa reaksi pengundi-pengundi Penanti? Pasrah? Kecewa? Rimas? Tentunya rakyat di Penanti yang terletak di bawah naungan Permatang Pauh keliru. ADUN Penanti itu sudah kecewakan rakyat.

Panas PRK Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu dirasakan masih belum reda, sudah mahu diadakan lagi. Kenapa tidak dibuat sekali gus sebelum ini? Senang tidak membuang masa, tenaga dan wang.

Memang benar kata Gerakan Pulau Pinang, bahawa PKR sengaja men cipta gelombang PRK. Tidak mustahil, gelombang ini berterusan di kawasan-kawasan yang mereka jangka boleh menang supaya gambaran yang diberi nanti, pembangkang hebat, boleh menang mana-mana kerusi yang ditandingi. Gelombang ini akan terus berlaku menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Memang menjadi hak seseorang untuk bertanding kemudian meletak jawatan. Inilah demokrasi!

Tetapi di sebalik peletakan jawatan itu, tembelang sudah pecah. Rupanya ada udang di sebalik batu. PRK Penanti ‘ciptaan’ PKR itu mempunyai tujuan lain iaitu mahu mencari calon TKM I apabila dua orang calon yang disebut-sebut sebelum ini tidak layak, khabarnya tidak setaraf dengan profesor yang menjadi TKM II. Maka PRK ini perlu mencari seorang yang setaraf dengan TKM II. Setakat Abdul Malik Abul Kassim (ADUN Batu Maung) atau Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap) lupakan saja. Sah, mereka dilihat tidak layak. Melalui PRK Penanti, PKR mempunyai perancangan lain.

Isunya sekarang, wajarkah BN menawarkan diri untuk merampas semula kerusi itu? Ada yang kata, BN perlu bertanding kerana ini adalah politik. BN tidak boleh dituduh bacul atau takut walaupun hakikatnya semuanya ini membuang masa, tenaga dan wang. Bukan sekadar wang BN atau UMNO yang mengalir keluar tetapi kerajaan yang terpaksa mengerahkan kakitangan SPR, kakitangan awam dan juga anggota pasukan keselamatan. Banyak kerja lain lagi yang boleh dilakukan sepanjang kempen sembilan hari itu. Ini bukan hari raya tetapi pilihan raya.

Sama ada BN mahu menawarkan diri atau tidak, itu terserah kepada pucuk pimpinan BN. Sebelum ini pun ada parti pembangkang yang mengugut mahu memulaukan pilihan raya tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. Mungkin BN akan memulakannya. Tidak bertanding bukan bererti takut, berundur pula bukan bererti mengalah. Tetapi adat pahlawan, pantang berundur sebelum berjuang. Jangan mudah menyerah kalah. Lebih baik tewas berjuang di dalam gelanggang daripada berundur sebelum masuk ke gelangang. Gunakan gelanggang yang ada untuk menyerang segenap kelemahan pembangkang semasa berkempen. Lagi pun, Penanti pernah menjadi kubu BN sebelum terlepas kepada PKR pada 1999 dan diambil semula pada 2004 dan jatuh ke tangan PKR pada 2008.

Memanglah kekalahan atau kemenangan mana-mana pihak – PKR atau BN – tidak mampu mengubah landskap politik Pulau Pinang. Jika PKR menang maka jadilah orang itu TKM I sama seperti calon PKR di Bukit Selambau yang menang jadi Exco. Orang Melayu Pulau Pinang tidak akan ke mana sama ada BN atau PKR yang menang. Bak kata orang ‘pi mai pi mai tang tu’ kerana apa yang berlaku sekarang di Pulau Pinang itu ibarat Balik Pulau, Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas. Jika berlaku pertandingan nanti sama ada BN atau Bebas lawan PKR, maka PKR boleh berkempen bahawa calon yang akan diturunkan nanti – setakat ini ada dua nama – bakal menjadi TKM I dan calon itu mesti menang. Mudah saja mahu memancing undi. Kalau ini dilakukan BN, mungkin dianggap rasuah politik. Tetapi meletak jawatan tanpa alasan kukuh itu tidak bolehkah dianggap mengkhianati budaya demokrasi dan derhaka kepada mandat rakyat pada 2008? Agaknya bagaimana jika calon yang diturunkan kali ini kalah? Siapakah pula yang akan menjadi korban? Malik atau Maktar?

Maka ada pula peminat politik yang berkata, kenapa tidak Anwar saja menjadi calon di Penanti? Senang cerita. Sekurang-kurangnya boleh jadi TKM I. Tetapi mustahil. Kata pula orang politik, lebih baik Anwar bertanding di Bukit Lanjan, boleh terus jadi Menteri Besar!

Apa pun yang akan berlaku nanti, budaya politik baru ini yang bagi sesetengah orang melihatnya sebagai ‘drama mencari populariti’ sudah pasti meresahkan banyak pihak yang selama ini melaung-laungkan kesuburan demokrasi.

Apakah pilihan raya ini sekadar pesta demokrasi? Letak calon tangkap muat, kemudian jika tidak mampu bekerja dengan baik, letak jawatan sama ada secara langsung atau tidak, kemudian buat PRK. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melihat trend ini supaya tidak menjadi ikutan parti-parti politik.

Pada masa yang sama demi kepentingan semua pihak, sudah tiba masanya, parti-parti politik memilih calon-calon yang benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat. Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi tempat kosong atau ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Pilihlah calon yang boleh bekerja untuk rakyat bak kata Perdana Menteri rakyat diutamakan. Jangan hanya mencari orang yang ringan mulut berat punggung. Tersilap pilih, wakil rakyat yang dipilih akan menjadi seperti tikus jatuh ke beras atau silap haribulan si bingung makanan si cerdik! Jadi jangan ambil mudah memilih calon wakil rakyat sekadar memenuhi ‘pesta demokrasi.’

UM200409-min

Related posts

Leave a Comment