JOHOR BAHRU 24 Mei – Azizah (Dr Wan Azizah Wan Ismail) saya pilih pada masa itu (Presiden PKR), saya terpaksa buat keputusan segera ketika itu (1999) namun Nurul Izzah saudara-saudari yang pilih (jawatan timbalan presiden),” kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu menyingkap semula situasi parti dan keluarganya sebagai menjawab persoalan berkaitan isteri dan anak serta nepotisme.
Anwar mengimbau semula keadaan PKR dan juga keluarganya 26 tahun lalu semasa beliau kali pertama dimasukkan ke dalam penjara sewaktu parti baru mula bertapak tanpa ada dana dan juga penggerak.
Perdana Menteri berkata keadaan itu memaksa isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah melangkah ke ‘medan tempur’.
Dalam situasi getir pada 1999 itu, jelasnya, Dr Wan Azizah memikul tanggungjawab memimpin parti, manakala Nurul Izzah pula terpaksa meninggalkan pengajian universiti untuk membantu perjuangan PKR secara aktif.
“Bagi pihak Azizah yang pegang benteng (pimpinan PKR) ini agak lama, saya ucapkan terima kasih. Orang bangkitkan, isu isteri, anak waktu kita bertempur dulu. Ketika itu PKR tiada kongres, tiada perbincangan panjang.
Siapa hendak pegang obor pada waktu itu, saya lepaskan (pimpinan parti) begitu sahaja kerana saya masuk penjara. Waktu itu tiada dana parti, tiada jentera parti. Waktu itu, tidak timbul (isu) keluarga dan nepotisme.
“Saya hendak singgung perkara itu supaya ahli-ahli lihat dan tanya kepada yang lama-lama (ahli PKR), waktu itu apa pilihan kita? Siapa yang pegang obor? Ketika itu Azizah pegang dan Izzah pula dalam keadaan terpaksa tinggalkan universiti,” katanya.
Membangkitkan perkara itu dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2025, di sini hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, berkata Nurul Izzah ketika itu terpaksa menjadi ‘dewasa’.
“Ya, Azizah saya pilih pada masa itu, saya terpaksa buat keputusan segera ketika itu, namun Nurul Izzah saudara-saudari yang pilih (jawatan timbalan presiden),” katanya yang menolak dakwaan PKR kini berubah menjadi parti nepotisme.
Dalam saingan bagi jawatan nombor dua parti, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyeru setiap ahli meneruskan perjuangan PKR kerana kejayaan bergantung pada komitmen semua terhadap masa depan parti.
“Saya nak ingatkan semua untuk teruskan bekerja kerana tiada jaminan masa depan seseorang selain kerja dan amal. Saya di sini sementara ada kudrat dan kesihatan yang mengizinkan,” katanya.
