PBB kecam ‘muslihat’ pelan bantuan Israel

NEW YORK – Pelan pengagihan bantuan kemanusiaan untuk Gaza yang dicadangkan Israel dan disokong Amerika Syarikat (AS) didakwa sebagai satu muslihat licik, serta gangguan yang disengajakan.

Ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher yang mengecam pelan itu berkata,  kawalan sepenuhnya terhadap setiap bantuan yang mahu diagihkan itu sebagai helah Israel untuk meneruskan keganasan dan pengusiran rakyat Palestin di wilayah bergolak itu.

Sejak Mac lalu, tiada bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza dan pemantau kebuluran global memberi amaran bahawa setengah juta orang kini berdepan kebuluran, iaitu suku daripada jumlah penduduk di Gaza.

Minggu lalu, Israel mencadangkan syarikat swasta mengambil alih pengagihan bantuan di selatan Gaza apabila serangan ketenteraan di wilayah itu diperluaskan dalam konflik yang bermula sejak 7 Oktober 2023.

Sebelum ini, penghantaran bantuan dikendalikan oleh pertubuhan bantuan antarabangsa dan agensi PBB.

Fletcher memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC), pihaknya mampu menyelamatkan ratusan ribu mangsa yang terselamat dan mempunyai mekanisme ketat untuk memastikan bantuan sampai kepada orang awam dan bukan kepada Hamas.

“Israel bagaimanapun menafikan akses kepada kami, meletakkan matlamat untuk mengosongkan Gaza sebagai agenda lebih penting daripada nyawa orang awam,” katanya.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, sebelum ini menolak cadangan Israel pada April lalu, kerana berisiko mengawal dan mengehadkan bantuan secara tidak berperikemanusiaan sehingga ke tahap kalori dan bijirin gandum terakhir.

PBB menegaskan bahawa sebarang pengagihan bantuan mesti bersifat bebas, berkecuali dan tidak berpihak, selaras dengan prinsip kemanusiaan.

Fletcher berkata, PBB sudah mengadakan lebih 12 pertemuan dengan pihak berkuasa Israel berhubung pelan pengagihan bantuan yang dicadangkan, namun masih gagal mencapai penyelesaian.

Nnn

Related posts

Leave a Comment