SEPANG 6 Mei – Menjelang hari pencalonan pemilihan PKR 2025 yang mulanya dijadualkan pada 3 dan 4 Mei, nama Saifuddin Nasution Ismail menjadi sebutan untuk bertanding jawatan Timbakan Presiden, yang disandang Rafizi Ramli.
Bagaimanapun selepas tarikh baharu ditetapkan pada 8 dan 9 Mei ini, nama Naib Presiden Nurul Izzah Anwar pula muncul untuk diketengahkan sebagai pemimpin No.2 parti, berganding dengan bapanya Anwar Ibrahim sebagai Presiden.
Saifuddin nampak berminat tetapi belum membuat keputusan. Rafizi pula apa cerita? Sudah adakah Cabang PKR yang mencalonkan beliau untuk kekal sebagai Timbalan Presiden? Yang ada beliau diminta memberi laluan kepada Saifuddin.
Hari ini, Ketua Cabang Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan Rafizi memberi laluan mudah kepada Saifuddin Nasution yang juga bekas Setiausaha Agung PKR,
Sama ada pertandingan’keluarga PKR’ ini menjadi satu realiti atau satu sandiwara politik, keputusannya akan diketahui pada 8 atau 9 Mei ini atau lebih awal dengan menantikan jawapan daripada Rafizi, Saifuddin dan Nurul Izzah.
Atau akhirnya mungkin salah seorang daripada mereka akan menang tanpa bertanding bagi penggal 2025–2028. Tidak mustahil!
Tetapi untuk sehari dua ini, Nurul Izzah semakin menonjol. Malah Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, secara terbuka menyatakan sokongan kepada ‘Puteri Reformasi’ itu sebagai calon Timbalan Presiden.
Shamsul yang juga Ketua Cabang Hang Tuah Jaya bersama empat lagi ketua Cabang PKR dari Melaka — Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka — menyuarakan harapan agar pencalonan Nurul Izzah mendapat sokongan padu.
Dalam kenyataan bersama, mereka menyifatkan langkah ini sebagai permulaan kepada kebangkitan baharu parti dalam menghadapi cabaran semasa serta membina masa depan negara.
Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan tetapi soal masa depan Keadilan sebagai parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.
“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi,” menurut kenyataan itu.
Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu, seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan.
Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Abdullah Sani Abdul Hamid juga menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Nurul Izzah.
Beliau menyifatkan Nurul Izzah bukan sekadar pewaris legasi perjuangan reformasi tetapi seorang tokoh yang terbukti berwibawa, berprinsip dan memiliki rekod kepemimpinan cemerlang.
“Kepimpinan beliau yang bersifat inklusif, idea segar serta komitmen terhadap prinsip reformasi menjadikan beliau calon paling layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden,” katanya.
Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi pula menyifatkan Nurul Izzah bukan nama asing dalam pentas perjuangan parti dan beliau sudah membuktikan keteguhan prinsip serta iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi pada 1998.
Ketua Cabang Tapah itu berkata, bagi memastikan kesinambungan dan kelangsungan perjuangan parti mengharungi masa hadapan yang semakin kompleks, PKR perlu mempersiapkan barisan kepemimpinan yang mampu mendukung nilai reformasi, memacu pembaharuan dan membawa aspirasi rakyat ke tahap lebih tinggi.
“Saya percaya Nurul Izzah mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.
“Beliau juga diyakini mampu memperkukuh lagi sinergi antara KEADILAN dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pengerusi MPP PKR Pahang, Rizal Jamin turut menzahirkan sokongan terbukanya kepada Nurul Izzah untuk menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR
“Nurul Izzah dengan gelaran Puteri Reformasi bukan asing dalam pentas perjuangan PKR. Beliau sudah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan.
“Dengan pengalaman sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen bagi dua penggal, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, beliau membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menyokong Nurul Izzah sambil menegaskan sokongan itu bukan berasas kepada dorongan sentimen kronisme sebaliknya atas kekuatan imej dan kelayakan serta meritnya.
Hassan berkata, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu layak diangkat sebagai Timbalan Presiden berdasarkan pengalaman tiga penggalnya sebagai wakil rakyat,
Naib Presiden PKR dan pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan raya PKR, pengalaman berguna sebagai seorang pemimpin kanan parti.
Nurul Izzah juga dibesarkan dan didewasakan dalam kancah perjuangan reformasi PKR. Anggota biasa PKR mengenal sahsiah Nurul Izzah dan beliau amat memahami asam garam parti serta amat memahami cita-cita dan idealisme PKR.
Di samping itu, Nurul Izzah juga mempunyai ketahanan diri dan emosi sebagai seorang pemimpin parti serta disenangi penyokong Rafizi serta penyokong setia Anwar.
Nurul Izzah juga mendapat sokongan dari Selangor apabila Ketua Cabang Hulu Langat, M Rajen dan Ketua Cabang Kuala Selangor, M Sivabalan menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah.
Rajen berkata PKR memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa reformasi seperti Nurul Izzah, yang juga memiliki pendirian dan pegangan politik yang cukup konsisten sejak dulu lagi.
“Sebagai seorang pemimpin yang cukup berpengalaman, beliau boleh memainkan peranan penting bersama barisan kepemimpinan yang lain bagi memastikan masa depan parti ini sentiasa berada di landasan yang betul, terurus dan terancang.
Sivabalan pula menyifatkan Nurul Izzah sebagai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan demi menjamin masa depan parti.
“Nurul Izzah ialah seorang pemimpin yang bukannya muncul pada musim pemilihan saja, beliau sentiasa berada dalam misi perjuangan parti ketika parti ini berada dalam jalanan sehingga kita mendakap Putrajaya,” katanya.
