SEPANG 6 Mei – Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) hari ini menyusun semula jadual Kongres Nasional 2024/2025, susulan urusan rasmi negara melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, Anwar perlu menunaikan urusan menyambut Ketua Negara ASEAN yang dijangka tiba di Malaysia pada 25 Mei ini.
Susulan itu, PKR membuat keputusan untuk mempercepatkan tarikh Kongres Nasionalnya di Johor sehari lebih awal dan berakhir pada Sabtu, 24 Mei, berbanding rancangan asal pada Ahad, 25 Mei.
Menurut kenyataan itu, perasmian bersama Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita akan diadakan pada 21 Mei dan bersambung pada hari berikutnya
Pada 23 Mei 2025 (Jumaat) akan berlangsung pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 manakala hari terakhir kongres pada Sabtu, 24 Mei.
“Segala persiapan yang melibatkan perwakilan, logistik, dan pelaksanaan akan diselaraskan semula mengikut ketetapan tarikh yang terkini. Keadilan menyeru semua pihak yang terlibat agar mengambil maklum akan perubahan ini dan melakukan penyesuaian sewajarnya,” katanya.
Nnn
