Blair anggotai Lembaga Keamanan

WASHINGTON – Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair bakal menganggotai badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk memantau proses peralihan Gaza di bawah pelan tajaan Washington bagi menamatkan perang hampir dua tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengumumkan demikian berkata, Blair dinamakan sebagai anggota pertama “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) yang dipengerusikan sendiri oleh Trump.

Menurut Trump, lebih ramai pemimpin negara lain akan diumumkan menyertai lembaga terbabit dalam masa terdekat yang akan diberi mandat mengurus pentadbiran sementara Gaza sebaik sahaja pertempuran dihentikan.

Lembaga itu adalah sebahagian daripada pelan 20 perkara yang merangkumi proses pelucutan senjata Hamas, pembebasan tebusan, penghantaran bantuan penuh ke Gaza serta pembangunan semula wilayah berkenaan.

Sementara itu, Blair yang pernah memimpin Britain dari 1997 hingga 2007 dan membawa negaranya menyertai Perang Iraq pada 2003 menyifatkan pelan itu sebagai “peluang terbaik untuk menamatkan dua tahun peperangan, penderitaan dan kesengsaraan.”

Selepas meninggalkan jawatan, Blair pernah dilantik sebagai Utusan Khas Asia Barat bagi Kuartet kuasa antarabangsa (AS, EU, Rusia dan PBB), dengan fokus kepada pembangunan ekonomi Palestin dan syarat ke arah penyelesaian dua negara.

Blair menegaskan, kepemimpinan dan komitmen Trump dalam mempengerusikan Lembaga Keamanan memberi isyarat jelas bahawa Gaza masih ada harapan untuk perdamaian, keselamatan Israel serta peluang kepada rakyat Palestin menjalani kehidupan lebih baik.

Pengumuman itu menandakan perubahan daripada cadangan awal pentadbiran Trump pada Februari lalu yang mahu AS mengambil alih Gaza dan membangunkannya sebagai “riviera Asia Barat” – satu idea yang mendapat kecaman antarabangsa kerana dilihat bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Pelan diumumkan Trump semalam menetapkan peperangan akan “segera ditamatkan” sebaik kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Trump turut memberi amaran, sekiranya Hamas menolak cadangan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan menerima “sokongan penuh” daripada Washington untuk bertindak sendiri.

Pelan itu juga membuka kemungkinan ke arah penubuhan sebuah negara Palestin pada masa depan, namun, bergantung kepada pelaksanaan reformasi besar-besaran oleh Pihak Berkuasa Palestin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment