Selangor sokong Nurul Izzah

SEPANG 6 Mei – Sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden semakin kuat apabila PKR Selangor mengumumkan sokongan terbuka kepada Naib Presiden itu pada pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan malam ini berkata penyataan sokongan terbuka itu dicapai bersama pimpinan dari seluruh cabang di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Nurul Izzah adalah antara wajah utama perjuangan PKR, dengan terus kekal istiqamah sejak hari pertama dan benar-benar percaya kepada semangat reformasi.

“Hari ini, ketika negara memasuki fasa semakin mencabar dari segi politik, ekonomi dan sosial, PKR mesti dipimpin oleh barisan kepimpinan yang bukan saja memahami akar sejarah parti tetapi juga mempunyai hala tuju yang jelas, mampu menguatkan struktur dalaman parti, serta menyatukan suara anggota dari bawah ke atas.

Amirudin menegaskan pencalonan ini bukan soal mewarisi nama, tetapi soal membina semula semangat, tentang harapan baharu,  menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini serta menyambung api perjuangan dengan keikhlasan dan tanggungjawab.

“Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan Keadilan kekal relevan, progresif dan berwibawa,” kata Ketua Cabang Gombak itu.

Kenyataan itu turut menyenaraikan sokongan Timbalan Pengerusi MPN PKR Selangor,  Borhan Aman Shah yang juga Ketua Cabang Sepang, Naib Pengerusinya, Hee Loy Sian yang juga Ketua Cabang Petaling Jaya serta ketua-ketua cabang negeri itu.

Menurut Amirudin, parti tidak hanya memerlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi tetapi pemimpin yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Parti ini memerlukan seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti.

“Kita memerlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan PKR menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar,” katanya.

Amirudin:berkata, Nurul Izzah bukan orang baharu, sebaliknya telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan dan dihina tetapi tidak pernah meninggalkan medan perjuangan.

“Beliau membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.

“Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited. Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, namun yang paling utama ialah anggota parti tahu siapa beliau dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk PKR.

“Kita memerlukan kepimpinan yang bersedia ‘toe the line’ bersama anggota, yang faham denyut nadi parti dan yang tidak meletakkan diri di atas, tetapi di sisi perjuangan rakyat,” katanya.

Amirudin yakin dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden kelak, PKR akan dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan parti itu kekal relevan, progresif serta berwibawa.

“Kepimpinan Presiden memerlukan gandingan yang mantap, dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina,” katanya.

Related posts

Leave a Comment