Serangan udara AS ragut 68 jiwa

SANAA – Serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah pusat tahanan di utara Yaman pada Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya 68 orang terbunuh, manakala 47 lagi cedera.

Kumpulan Houthi, yang menguasai sebahagian besar kawasan di utara Yaman berkata semua mangsa adalah pendatang tanpa izin dari Afrika yang ditahan di pusat tahanan di Saada, ibu kota wilayah Saada, utara negara itu.

Kesemua 68 mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selepas pasukan pertahanan awam memadamkan kebakaran yang tercetus akibat serangan udara AS itu. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Menurut saluran televisyen Houthi, satu daripada peluru berpandu Amerika yang mengenai pusat tahanan itu tidak meletup dan pihak berkuasa berkaitan sedang mengendalikan objek itu.

Kumpulan Houthi dalam satu kenyataan memberitahu, pendatang dalam pusat ini berada di bawah seliaan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan tindakan menyerang pusat ini adalah satu jenayah perang sepenuhnya.

Yaman kekal sebagai negara transit bagi ribuan migran yang bergerak antara Tanduk Afrika dan Arab Saudi meskipun negara itu dilanda perang saudara selama bertahun-tahun.

Related posts

Leave a Comment