Selangor kutip zakat RM1.22 bilion tahun 2024

SHAH ALAM 23 April – Buat kali ketiga berturut-turut, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melepasi paras kutipan dan agihan zakat melebihi RM1 bilion dengan kutipan berjumlah RM1.22 bilion pada 2024, tertinggi dalam sejarah penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, kutipan itu menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding RM1.12 bilion yang direkodkan pada tahun 2023 manakala sasaran tahun ini RM1.328 bilion.

“Ini membuktikan kepercayaan berterusan lebih 380,000 pembayar zakat Selangor serta iltizam LZS dalam mengurus dana zakat berintegriti dan berimpak.

Pencapaian ini lebih bermakna di tengah-tengah cabaran ekonomi yang sedang dihadapi oleh ramai pihak terutama golongan asnaf,” katanya ketika mengumumkan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat bagi tahun 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Mohd Khaidzir berkata, menjelang tahun 2030, LZS meletak ssaran kutipan sebanyak RM2 bilion.

Katanya , zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang utama dengan RM712 juta atau 58 peratus daripada keseluruhan kutipan, di mana potongan gaji secara terus menjadi saluran pembayaran tertinggi dengan kutipan RM546 juta.

Jenis zakat lain termasuk zakat perniagaan dengan kutipan RM199 juta, zakat simpanan (RM130 juta), zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).

“Kutipan zakat melalui saluran Direct Debit mencatatkan pertumbuhan tertinggi antara semua saluran kutipan dengan peningkatan 60 peratus tahun ke tahun yang berjumlah RM1.4 juta seterusnya menggambarkan kesediaan pembayar zakat untuk beralih kepada kaedah lebih konsisten dan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khaidzir berkata, sebanyak RM1.19 bilion sudah disalurkan sepanjang tahun lalu kepada lapan kategori asnaf dengan peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.15 bilion.

Beliau berkata, kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi berjumlah RM707 juta iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat.

“Ini membabitkan lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin sepanjang tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun 2023,.

Sementara itu, pada majlis yang sama, LZS melancarkan Laporan Kelestarian 2024 (Edisi Kedua) bertema ‘Memperkasakan Kehidupan’ yang dibangunkan berasaskan rangka kerja Global Reporting Initiative (GRI) selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment