ALOR SETAR 23 April – Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, peruntukan RM1 bilion bagi membantu sektor penanaman padi di Kedah bukan bantuan langsung kepada kerajaan negeri sebaliknya adalah bagi membiayai pembangunan infrastruktur berkaitan.
Beliau berkata, insentif khas RM200 juta yang dituntut Kedah adalah bagi pampasan di atas kos melepas yang terpaksa ditanggung negeri demi mengekalkan kawasan tanaman padi.
“Perkara yang kita cakap ini berkaitan cukai tanah sawah padi. Itulah hasil negeri selain sumber air mentah yang itu sebahagian sahaja kerana untuk air terawat bukan lagi sumber kerajaan negeri setelah diswastakan.
Jadi keperluan RM200 juta itu untuk kita urus negeri ini yang rakyatnya makin bertambah, keperluan pengurusan, gaji semakin naik, maka kena ada hasil. Kalau tiada pertambahan hasil, kita nak ambil mana (kewangan) kerana sumber negeri kini terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Kelmarin, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah akan terus menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi sekali gus menjamin bekalan beras negara.
Dalam reaksinya, Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk membantu sektor padi di Kedah yang diberi secara berterusan termasuk sebagai insentif khas untuk negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak menolak kiraan RM41 juta setahun yang dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya hanya mengemukakan cadangan balas berdasarkan perkiraan dan mekanisme nilai yang telah diambil kira dalam tuntutan berjumlah RM200 juta setahun.
“Saya tak kata tolak, bila mereka kemukakan cadangan melalui KAGUMN, kita kemuka cadangan balas, bukan kita tolak mereka punya kiraan.
“Saya tak pasti sama ada RM41 juta itu akan dikekalkan atau tidak. Sama ada tambah atau kurang saya tak tahu. Tapi kita punya tuntutan kekal RM200 juta setahun kerana inilah kehilangan yang telah kami alami selama ratusan tahun,” katanya.
Nnnn
