Siasatan ceroboh tanah sejak 2021

KUALA LUMPUR 22 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi fokus utama kepada dua elemen iaitu unsur rasuah dan tadbir urus berhubung siasatan pencerobohan tanah secara haram di Raub, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, siasatan itu adalah kesinambungan siasatan yang telah dimulakan sejak tahun 2021 dan SPRM Pahang telah diarahkan supaya meneruskan siasatan tersebut.

“Saya ditanya sama ada SPRM pernah membuka kertas siasatan berkaitan isu di Raub, dan jawapannya, ya. Kita telah memulakan siasatan pada tahun 2021.

“Justeru, siasatan terhadap pencerobohan terbaharu ini merupakan kesinambungan daripada siasatan terdahulu. Saya telah mengarahkan SPRM Pahang supaya meneruskan siasatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini hari ini.

Katanya, siasatan menyeluruh dengan elemen diberikan perhatian adalah dalam aspek amalan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pejabat daerah, bagaimana penerokaan haram boleh dilakukan dalam tempoh tertentu.

Semalam, Badan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.

Justeru Presidennya, Jais Abdul Karim, menggesa SPRM membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.

Sementara itu, Azam juga memaklumkan laporan forensik membabitkan 10 rakaman video berkaitan dakwaan rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah dijangka siap dalam masa terdekat.

Katanya, SPRM masih menunggu laporan itu, dan menegaskan siasatan terhadap kes berkenaan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

“Saya jangkakan laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana pihak forensik sedang menjalankan penelitian secara terperinci terhadap kesemua 10 rakaman audio itu.

“Seperti saya maklumkan ketika sidang media di Sabah beberapa minggu lalu, lapan individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk satu kes baharu melibatkan tohmahan yang turut disiasat,” katanya.

Beliau, meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan.

Pada 10 April lalu, Azam memaklumkan 10 video dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah, sedang dianalisis.

Katanya, penelitian rapi perlu dilakukan dalam siasatan oleh Unit Forensik sebagaimana lapan video yang disiarkan oleh sebuah portal sebelum ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment