PUTRAJAYA 22 April – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail masih belum membuat keputusan sama ada akan mencabar Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang.
Beliau yang mengikuti pandangan beberapa pihak yang menyebut sudah sampai masanya membuat pengumuman, menjelaskan, ada beberapa proses perlu dititikberatkan sebelum membuat sebarang ketetapan.
“Saya sedar terdapat pandangan yang menyatakan sudah sampai masanya untuk saya membuat pengumuman berhubung perkara ini. Namun saya belum membuat sebarang ketetapan sama ada untuk bertanding atau tidak,” katanya.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga bekas Setiausaha Agung PKR itu, menegaskan kesetiaannya kepada parti tidak wajar dipersoalkan memandangkan beliau pernah memegang jawatan penting selama 14 tahun dan terlibat sejak penubuhan parti.
“Saya bersama rakan pengasas lain membina PKR dari awal tanpa sokongan atau pengaruh. Parti ini sebahagian daripada hidup saya,” ujarnya.
Pada pemilihan 2022, Saifuddin yang ketika itu sebagai Setiausaha Agung PKR tewas kepada Rafizi Ramli yang ketika itu bekas Ahli Parlimen Pandan yang menyandang jawatan Naib Presiden.
Jawatan Timbalan Presiden ketika itu kosong apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu
Saifuddin menjelaskan beliau dan Rafizi saling berterus terang dalam pertemuan mereka dan komited untuk terus bekerjasama memperkukuh kepemimpinan parti.
“Pemilihan adalah proses demokrasi yang tidak boleh mati dalam parti reformasi seperti PKR,” katanya yang menolak label ‘orang Saifuddin’ atau ‘orang Rafizi’, sebaliknya menyatakan bahawa semua adalah ‘orang parti’.
Berhubung kekalahan beberapa tokoh besar dalam pemilihan cabang, beliau menegaskan mereka tidak akan dipinggirkan.
“Selagi berkhidmat dan setia, tetap ada tempat. Dalam parti, saya lebih banyak kalah daripada menang, tapi saya masih di sini,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan pemilihan di 222 cabang PKR menyaksikan beberapa sekutu Rafizi tumbang yang mencetuskan persoalan menarik yang memungkinkan wujudnya pencabar Menteri Ekonomi itu bagi jawatan No.2 parti.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata ia memberi isyarat bahawa Saifuddin perlu mengambil peluang sekali lagi untuk berdepan Rafizi.
“Yang banyak tewas berkait rapat dengan Rafizi dan walaupun belum ada calon menentang Timbalan Presiden, namun kita berasakan Saifuddin Nasution akan mencabar Rafizi.
Melalui perkembangan ini, ia memberi impak siapa seharusnya menjadi timbalan, sekali gus memberi cabaran buat Rafizi. Ini isyarat paling menarik,” katanya seperti dilapor BH semalam.
Nnnn