Hadiah peribadi, tidak perlu diperbesar

PUTRAJAYA 22 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan cenderahati yang disampaikan kepada Presiden China, Xi Jinping sebelum pemimpin itu meninggalkan negara ini baru-baru ini adalah hadiah peribadi.

Justeru Setiausaha Agung DAP itu yang juga bertindak sebagai Menteri Pengiring berkata, isu itu tidak perlu diperbesarkan dan diperkatakan.

“Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Raikan Kasih Madani Tahun 2025 di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berkenaan isu pemberian cenderahati itu yang kecoh di media sosial kerana didakwa melakukannya melalui ‘pintu belakang’ tanpa sebarang protokol rasmi.

Klip rakaman pendek mengenai perkara itu tular dan mendapat perhatian ramai selepas ia dimuat naik Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di laman Facebook miliknya.

Nie Ching antara lain menulis ‘Anthony Loke mewakili DAP memberi plak kenang-kenangan kepada Setiausaha Agung Parti Komunis China (CCP)’.

Plak daripada Royal Selangor dengan ukiran naga itu diberikan kepada Xi Jinping pada 17 April lalu sebelum Presiden China itu berlepas ke Kemboja selepas berada di Malaysia selama tiga hari dalam lawatan beliau ke Asia Tenggara.

Terdahulu melalui hantaran di Facebooknya, Loke berkata, selesai menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Pengiring sempena lawatan negara oleh Presiden Republik Rakyat China, beliau turut berkesempatan untuk mengiringi konvoi rasmi beliau dari hotel penginapan menuju ke KLIA.

“Sebagai tanda kenang-kenangan atas lawatan bersejarah ini, saya telah menyampaikan cenderahati berupa plak Royal Selangor yang diukir dalam bentuk naga—simbol yang melambangkan kekuatan, kebijaksanaan dan persahabatan dalam budaya Cina,” katanya..

Related posts

Leave a Comment