Dr Yusri calon BN PRK Ayer Kuning

TAPAH 7  April – Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Dr Mohamad Yusri Bakir diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengumuman dibuat Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak,  Saarani Mohamad pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tapah hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain kepimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) bersama lebih 5,000 jentera dan penyokong parti.

Dr Mohamad Yusri, 54 yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah memulakan kerjaya sebagai guru pada 1992, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau kemudian beralih kerjaya sebagai Pensyarah di IPG Kampus Ipoh pada 2007 dan berkhidmat di sana sehingga sekarang.

Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah, itu yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir mempunyai empat anak berusia antara 20 hingga 28 tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri, Rosnani Mahmud, 52.

Beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah dan Ketua Biro Agama dan Kebajikan Pemuda UMNO Tapah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pemilihan Mohamad Yusri dibuat berdasarkan latar belakang agama serta kelulusan akademik beliau, dan mendapat sokongan semua pihak.

“Sebagaimana dimaklumkan, daripada lapan nama, terdapat enam calon yang disenarai pendek dan dikemukakan kepada saya. Kita telah meneliti latar belakang serta laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai pihak.

Alhamdulillah, Dr Yusri telah terpilih. In syaa Allah, kali ini (calon BN) adalah seorang yang berlatarbelakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik,” katanya.

Beliau berharap pemilihan Mohamad Yusri memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Ayer Kuning, yang menjadi kubu kuat BN dan UMNO sejak beberapa siri pilihan raya umum lalu.

“Tambahan pula saya dimaklumkan isteri beliau adalah keturunan Cina, mudah-mudahan ia akan membantu dan menjadi kelebihan kepada beliau. Sudah tentu jentera BN dan PH (Pakatan Harapan) akan berganding bahu untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan Dr Yusri dalam pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Yusri tidak menjangkakan pemilihannya sebagai calon, namun berazam memberikan komitmen penuh untuk memenangi kerusi tersebut.

“Saya masih berdebar dan terkejut. Terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN dalam PRK ini,” katanya.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 April dan 22 April, manakala 26 April sebagai hari pengundian.

Pada PRU15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

NNNN

Related posts

Leave a Comment