Pemimpin DAP komited dekati masyarakat Melayu

SEPANG 7 April – Dua pemimpin Melayu DAP komited untuk memperkukuhkan parti dengan mendekati masyarakat Melayu serta menguatkan sokongan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di bawah kepemimpinan Anthony Loke.

Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai anak muda, termasuk anak muda Melayu serta wanita, menunjukkan minat terhadap DAP dan  menyertai sebagai ahli parti.

“Usaha untuk menggalakkan penyertaan baharu, termasuk daripada kalangan orang Melayu, akan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan parti,” kata pemimpin itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Pada pemilihan 30 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP 16 Mac lalu, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi dan Young Syefura, Ahli Parlimen Bentong dipilih selepas masing-masing memperoleh 2,065 dan 1,943 undi.

Calon Melayu lain yang bertanding tetapi gagal menempatkan diri dalam kelompok 30 adalah Azaha Abdul Rani yang mendapat undian sebanyak 191, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali (478), Supian Zaharin (170) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (694).

Syahredzan yang menduduki tempat ke-20 kemudiannya dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi manakala Young Syefura di tempat ke-21 dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Menurut mereka, kehadiran pemimpin Melayu di pelbagai peringkat – Ketua Cawangan, Ahli Majlis, Ketua Kampung, Jawatankuasa Negeri sehingga ke peringkat tertinggi membuktikan DAP benar-benar inklusif dan terbuka kepada semua.

Kedua-duanya menyifatkan sokongan perwakilan kepada mereka membuktikan bahawa para perwakilan DAP tidak mempunyai masalah untuk memilih calon Melayu, selaras dengan semangat keterangkuman yang dibawa oleh parti.

“Kami ingin menegaskan bahawa DAP kekal komited untuk mendukung apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta pada masa yang sama mempertahankan hak dan kepentingan sah semua kaum secara adil dan saksama,” kata kenyataan itu.

Sambil merakamkan penghargaan kepada para perwakilan DAP atas kepercayaan yang telah diberikan, mereka berharap DAP terus mekar di bawah kepemimpinan baharu ini.

Dalam pada itu mereka juga bersedia turun padang membantu calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan MADANI dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Syahredzan berkata ini selaras dengan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming bahawa parti itu akan turut menghantar jentera DAP, termasuk pemimpin dalam kalangan Melayu bagi memberi sokongan kepada bakal calon.

“Bergantung kepada keperluan kempen. Saya dan Young Syefura Othman (antara pemimpin Melayu dalam DAP) bersedia untuk turun membantu jentera BN dan Kerajaan MADANI di PRK itu,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment