SUBANG JAYA 7 April – Siasatan kejadian letupan paip gas di Putra Heights, antara lain tertumpu kepada perbuatan jenayah dan elemen kecuaian manusia, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Katanya, daripada sudut kecuaian, banyak pihak yang mengatakan ia hanya disebabkan faktor manusia namun ada juga kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan.
“Tekanan tinggi daripada aliran air, dan macam-macam faktor lain juga boleh jadi punca… Itulah yang kita bincangkan.
Dari sudut keselamatan pula, kita nak jelaskan bahawa keselamatan pelawat yang berada di kawasan ini, dan juga kesejahteraan secara keseluruhannya, adalah perkara utama yang kita tekankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) berhubung letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, hari ini.
Razarudin berkata, fokus pihaknya hari ini pula adalah pada operasi siasatan di lokasi kejadian di mana lebih 10 agensi terbabit dan membantu siasatan di kawasan itu.
“Mereka akan tentukan tugasan masing-masing apa yang perlu dibuat dan siasatan apa yang sedang dijalankan,” katanya sambil menjelaskan siasatan termasuk dari sudut geoteknikal iaitu keadaan tanah di sekitar kawasan ‘ground zero’.
Katanya, ketika ini polis, bomba dan pasukan forensik juga sedang menjalankan tugas masing-masing di lokasi untuk menilai tahap keselamatan.
“Pasukan bomba akan memastikan semua siasatan forensik dilakukan dengan pemantauan keselamatan rapi.
“Kita risau keadaan tanah di situ. Apabila kita masuk, kita tak tahu sama ada tanah itu kukuh atau tidak. Kita juga bimbang jika berlaku kejadian tanah jerlus.Ini sangat penting bagi memastikan tiada sebarang kecederaan berlaku lagi,” katanya.
(FOTO PDRM)
