SEPANG 13 Mac – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menolak tanggapan bahawa parti itu membunuh UMNO jika bersama-sama dalam satu gabungan, sebaliknya UMNOlah yang sedang membunuh diri sendiri, umpama kelekatu yang terjun ke dalam api kerana tertarik kepada cahaya api yang akhirnya membakar diri.
Beliau mendakwa, terdapat kalangan kepimpinan UMNO yang memilih untuk menjadi parti yang menumpang Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP, parti yang membawa konsep sekular yang meminggirkan Islam serta kepimpinan Melayu dan bumiputera.
“Kononnya, tindakan ini bertujuan untuk menguatkan semula UMNO, tetapi hakikatnya lebih kepada usaha menyelamatkan diri daripada terjerat dalam kes mega rasuah dan pelbagai isu yang lain,” katanya melalui tulisan Minda Pas bertajuk UMNO Membunuh Diri Sendiri hari ini.
Abdul Hadi berkata, pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng, dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, baru-baru ini menyatakan bahawa, “DAP tidak pernah dikuasai UMNO semasa kita menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila kita berada dalam kerajaan.”
Katanya, kenyataan itu memperlihatkan bahawa UMNO yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
“Situasi ini menunjukkan bahawa parti-parti Melayu-Islam seperti Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan UMNO dalam PH laksana mangsa yang dibelit oleh ular besar, sehingga letih lalu akhirnya ditelan sedikit demi sedikit.
Parti Amanah Negara dan pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi suara yang berteriak bagi pihak DAP, sementara PKR dan UMNO terpukau dengan belitan pangkat dan projek mega yang menidurkan.
Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, atau Exco, malah ada yang menagih projek mega. Kesemuanya seolah-olah menjadi semut yang membunuh diri sendiri dalam gula yang manis,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan ini berbeza dengan Pas, yang pernah bekerjasama dengan DAP tetapi tetap berpegang teguh kepada petunjuk al-Quran.
“Allah telah menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan kalangan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem, serta menolak pihak yang menentang Islam dan cuba menyingkirkan bangsa Melayu serta bumiputera,” katanya sambil mengajak mereka yang terlanjur kembali ke pangkal jalan.
Dalam tukisannya itu, Abdul Hadi juga menyingkap kembali penubuhan UMNO dan kedudukan parti itu di zaman British serta Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) meninggalkan UMNO dan penubuhan Hizbul Muslimin.
Katanya, UMNO, sebagai parti Melayu terbesar suatu masa dulu membentuk gabungan Perikatan bersama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), manakala Pas bertanding pilihan raya umum secara bersendirian.
Perikatan yang didominasi oleh UMNO memenangi majoriti besar, manakala Pas hanya memperoleh satu kerusi sebagai parti pembangkang.
Pas kemudiannya bersama UMNO dan kumpulan Islam yang lain berjaya meletakkan Islam, hak istimewa Melayu dan bumiputera, serta bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan di mana pada masa yang sama, konsep kebebasan beragama turut dilaksanakan bagi penganut agama bukan Islam.
“Sepatutnya, UMNO sebagai parti terbesar dalam kerajaan dengan majoriti yang besar berperanan memperkasakan Islam dan kedudukan Melayu serta Bumiputera.
Sebaliknya, perkara ini tidak dilaksanakan dengan berani, sehingga menyebabkan berlaku perselisihan yang sengit antara UMNO dengan Pas yang membawa perpecahan dalam kalangan Melayu Islam hanya kerana berbeza pendekatan.
“Akhirnya, UMNO mula dijangkiti penyakit gila kepada harta dan jawatan. Amalan politik wang dan rasuah semakin berleluasa, sehingga membarah dalam pemilihan kepemimpinan parti. Akhirnya, UMNO kecundang dalam pilihan raya umum yang mutakhir,” katanya.
Nnnn
