Nik Nazmi sedia pertahan Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR 2 Mac – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dan Ketua Cabang Setiawangsa, pada pemilihan parti yang akan datang.

Dalam hantaran melalui TikTok, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, perkara itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Setiawangsa.

Katanya, pemilihan PKR tahun ini bakal menjadi tumpuan ramai bukan sekadar dalam kalangan ahli parti tetapi juga rakyat yang menilai kesatuan dan kekuatan parti itu.

“Dalam kita meraikan demokrasi dalaman yang matang, kita juga perlu memastikan persaingan ini berlangsung dengan penuh adab, semangat setia kawan serta memfokus kepada agenda besar, iaitu mengukuhkan PKR sebagai sebuah parti masa depan yang terus relevan dalam perjuangan rakyat,” katanya.

Nik Nazmi berkata, PKR Cabang Setiawangsa turut mengumumkan sokongan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal sebagai Presiden parti dan Datuk Seri Rafizi Ramli kekal sebagai Timbalan Presiden.

Katanya, beliau percaya PKR bukan sekadar parti politik tetapi juga gerakan yang membawa harapan dan perubahan.

Terdahulu Menteri Besar Selangor  Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor kestabilan parti yang merupakan antara komponen menerajui Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment