Pas tekad kerjasama parti Melayu

PUTRAJAYA 17 Sept. – Pas mengulangi tekad untuk bekerjasama dengan semua parti Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa semula di Putrajaya.

Naib Presidennya, Idris Ahmad, menjelaskan kerjasama itu meliputi dengan Bersatu, dan UMNO/Barisan Nasional (BN),

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata , iktibar daripada pemerintahan PH yang dilihat sebagai gagal sebelum ini perlu direnung secara mendalam.

“Kita harus melihat kembali dan belajar daripada kegagalan pemerintahan PH selama 22 bulan, termasuk tidak mampu menunaikan manifesto kepada rakyat.

Pengajaran sepanjang tempoh PH memegang tampuk pentadbiran sebelum ini yang turut ditolak oleh rakyat, perlu dihayati,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 di Dataran Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Program itu dijayakan 89 peserta membabitkan kelab permotoran dari sekitar Lembah Klang ke Pulau Pinang bertujuan menyantuni komuniti juvana; lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT); pesakit AIDS; penghidap HIV; serta orang kena pengawasan (OKP) dadah untuk bersama-sama mengisi slot usrah dan bergotong-royong.

Idris turut membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang menyifatkan Pas sudah tidak bermoral kerana menggunakan nama Islam untuk berkawan dan mempertahankan pelaku rasuah.

Beliau menegaskan, Pas memang konsisten menentang rasuah dan tidak berkompromi dengan mana-mana pelaku.

Sebaliknya, Idris menyifatkan kenyataan Khalid itu seolah-olah menggambarkan pihaknya ‘suci’ dengan menuding jari kepada Pas, sedangkan pemimpin PH turut berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Bagaimanapun ketika ditanya berhubung dakwaan Pengerusi Pejuang,  Dr Mahathir Mohamad bahawa Pas kini adalah parti ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan UMNO pula, Idris enggan memberi sebarang komen.

“Saya tidak mahu komen mengenai kenyataan Tun (Dr Mahathir). Jika ingin mendapatkan kenyataan lebih lanjut, boleh tanya Tun sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment