Siasat laporan, bukan tahan wartawan

KUALA LUMPUR 2 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya mendahulukan siasatan ke atas laporan media berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan dakwaan rasuah.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana  jika kegiatan tersebut benar seperti didedahkan media, ia lebih berpotensi menimbulkan masalah lebih serius dan berbahaya bagi keselamatan dan ekonomi negara berbanding dakwaan peras ugut jenayah yang didakwa melibatkan wartawan berkenaan.

Beliau merujuk artikel yang dihasilkan wartawan Malaysiakini yang bertajuk “Pegawai imigresen KLIA kantoi selit 12 pasport di pinggang” dan “Bongkar: ‘Datuk’ dalang kartel Pakistan di KLIA?” pada 19 dan 22 Februari lalu, mendedahkan kegiatan kartel warga Pakistan yang menyeludup masuk pekerja asing ke Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan seorang petugas media di ditahan berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai pendedahan isu pendatang warga asing tanpa izin (PATI) seperti yang didedahkan portal berita berkenaan.

Menurut Takiyuddin, tindakan SPRM terhadap wartawan terbabit yang dibuat hanya berdasarkan laporan pihak berkepentingan langsung, iaitu ejen pekerja asing yang didedahkan itu agak janggal dari beberapa sudut dan perlu diteliti dengan lebih dekat, terutama dari segi motif, ketepatannya bawah undang-undang dan keutamaannya.

“Umum mengetahui bahawa kes salah laku dan rasuah melibatkan pegawai imigresen dan ejen pekerja asing bukanlah perkara baharu malah sering kali dibangkitkan dalam masyarakat mahupun di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pada September tahun lepas sahaja, SPRM menahan 37 penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki bersekongkol dan menerima rasuah daripada sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu KLIA.

Semasa operasi khas SPRM dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan pula, ia turut melibatkan rampasan wang tunai berjumlah lebih RM1 juta dan penyitaan barangan kemas termasuk jongkong dan dinar emas, jam tangan berjenama, kereta, motosikal dan telefon bimbit pelbagai jenama.

“Pas juga hairan apakah istimewanya laporan ini sehinggakan SPRM mengambil inisiatif khusus hanya berdasarkan laporan ejen, yang jelas merupakan pihak berkepentingan langsung, untuk memerangkap seorang wartawan kerana laporannya mengenai kegiatan yang bukan lagi rahsia itu?

Sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM?

Sekiranya laporan media tersebut pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi oleh undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?,” soal

Takiyuddin berkata, kejanggalan ini sebenarnya boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM sendiri, baik dari aspek profesionalismenya mahupun dari sudut ketelusan tindakan badan itu.

“Ia boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini,” katanya.

Beliau juga mendakwa, tindakan itu  juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam.

“Apa-apa tindakan yang boleh dilihat bertujuan mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan media serta wartawan hendaklah dielakkan sama sekali, terutamanya oleh agensi kerajaan,” katanya.

Semalam, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menuntut SPRM menjalankan siasatan secara adil terhadap wartawan berkenaan.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof, berkata siasatan itu haruslah tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.

Oleh demikian, NUJM berharap sebarang siasatan yang dilakukan oleh SPRM memberi keadilan kepada semua pihak dan tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.

Related posts

Leave a Comment