LRANAU 25 Feb. – Ketua Menteri, Hajiji Noor menegaskan kenyataannya sebelum ini mengenai mandat daripada rakyat adalah atas keyakinan kerajaan pimpinannya akan kembali memerintah Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau menyifatkan tindakan parti lawan memperlekeh kenyataan itu, seolah-olah menggambarkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya gagal, tidak lebih hanya sebagai mainan kata-kata.
“Ada juga pemimpin cakap kalau kita minta mandat balik kepada rakyat, mereka cakap macam- macam, bermain dengan kata-kata. Sayapun tidak faham, kita cakap bagus mereka cakap lain.
“Kalau kita cakap bahawa pencapaian kerajaan hari ini begitu baik dan kita perlu diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya nanti, kita cakap itu kerana kita yakin kita boleh memerintah Sabah sekali lagi selepas PRN nanti.
Kita bukan lemah, ada yang cakap kita gagal tetapi kerajaan ini tidak gagal, sebaliknya yang gagal itu ialah mereka yang disebut pencacai-pencacai itu,” katanya pada program Jelajah Sayangi Sabah Zon 4 Ranau anjuran GRS di Pentas Budaya Pekan Kundasang, di sini, hari ini.
Sempena majlis itu, Hajiji turut menyerahkan sebanyak 1,143 geran tanah anak negeri kepada penduduk kampung dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen Ranau iaitu Kundasang, Paginatan dan Karanaan.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Hajiji menjelaskan apa yang terjadi kepada pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) hingga merayu agar diberi peluang kedua menjayakannya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata rakyat tidak boleh tersalah pilih pada pilihan raya nanti bagi memastikan apa yang pernah berlaku dalam sejarah politik negeri ini tidak berulang.
“Kita kena belajar sejarah politik kita yang lalu, kita mesti bersatu, jangan ada di Ranau ini taja-menaja, saya tidak mahu dengar itu.
“Kalau dia dari GRS taja orang, kita tidak akan terima itu. Saya ingin menegaskan selaku Pengerusi GRS ini tidak boleh berlaku. Kita mesti bijak dalam berpolitik, cukuplah kita digaduh-gaduhkan, dipecah-pecahkan sebelum ini, jangan kita lepaskan peluang kali ini.
“Banyak parti sekarang melihat perpaduan GRS, kita tunjuk kepada mereka bahawa GRS adalah pilihan rakyat kita di Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ini peluang keemasan yang kita tawar kepada rakyat Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, PRN17 adalah peluang terbaik untuk menunjukkan bahawa GRS selaku gabungan parti tempatan adalah pilihan yang tepat untuk rakyat Sabah
