Rapatkan saf di Terengganu mulai 1 April

KUALA TERENGGANU 20 Mac – Mulai 1 April, solat jemaah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal sama ada di surau atau masjid, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Turut dibenarkan adalah majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah serta qiamullail.

Beliau berkata, kebenaran aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam fasa peralihan endemik itu diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Sultan Mizan juga bersetuju membenarkan semua jemaah lelaki dan wanita, termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas hadir ke masjid.

Semua pelaksanaan aktiviti perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk pemakaian pelitup muka, pendaftaran kemasukan ke masjid dan surau menggunakan aplikasi Mysejahtera atau mencatatkan nama pada buka disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaikh Harun berkata, semua jemaah tidak perlu membawa sejadah sendiri, bagaimanapun bersalaman tidak dibenarkan.

Mengenai aktiviti hal ehwal jenazah dan ziarah kubur, Shaikh Harun berkata, umat Islam dibenarkan untuk menziarahi tanah perkuburan.

Katanya, Sultan Mizan turut memperkenankan supaya solat jenazah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dengan dirapatkan saf.

Bagaimanapun, jemaah yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga diminta menyediakan cecair pencuci tangan,” katanya.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan hadir bersama ibu dan bapa. Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menyediakan satu kawasan khas bersesuaian untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun,” katanya.

Related posts

Leave a Comment