WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman memperbaharui komitmen mereka terhadap pelaksanaan gencatan senjata di Gaza.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, berkata dalam pertemuan itu, Rubio menekankan kepentingan ‘penyelesaian untuk Gaza yang menyumbang kepada keselamatan serantau’.
Pertemuan itu turut menyentuh isu serantau seperti Syria, Lubnan, serta keselamatan di Laut Merah dengan kedua-dua pihak menekankan kepentingan kebebasan pelayaran di kawasan itu.
Rubio dijadual meneruskan lawatan ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam rangka jelajah serantaunya.
Kunjungan Rubio dibuat ketika Presiden Trump mencetuskan kontroversi dengan cadangan untuk ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, memindahkan rakyat Palestin ke Mesir, Jordan, dan negara lain, serta mengubah wilayah itu menjadi ‘Riviera Asia Barat’.
Cadangan itu menerima kecaman meluas daripada dunia Arab, negara Islam, serta negara-negara lain yang menganggapnya sebagai satu bentuk pembersihan etnik.
Rubio, yang tiba dari Israel bersama Penasihat Keselamatan Negara AS, Mike Waltz, dan utusan khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff, mengadakan pertemuan dengan pemerintah de facto sebelum rundingan yang dijadualkan pada Selasa dengan delegasi Russia di ibu negara Arab Saudi.
Nnn
