ISTANBUL – Mesyuarat Lima Pihak Arab dijadualkan berlangsung pada 20 Februari ini di Arab Saudi bagi membincangkan cadangan Mesir untuk pembinaan semula Semenanjung Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin.
Menurut Penolong Setiausaha Agung Liga Arab Hossam Zaki, mesyuarat itu akan dihadiri Arab Saudi, Mesir, Jordan, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Kemungkinan Palestin boleh dijemput ke mesyuarat itu untuk membincangkan rangka kerja umum cadangan (Mesir) yang akan dikemukakan kepada Sidang Kemuncak Arab,” katanya.
Awal bulan ini, Mesir menyatakan komitmen untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Tergempar Arab pada 27 Februari berikutan cadangan kontroversi oleh Presiden AS Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin untuk membangunkannya menjadi apa yang beliau sifatkan “Riviera Timur Tengah.”
Kesemua negara ini akan bertemu kali ini untuk menyelaraskan mengenai idea dan cadangan Mesir yang akan dikemukakan pada Sidang Kemuncak Arab.
Zaki berkata Sidang Kemuncak Arab yang dirancang itu boleh ditangguhkan selama beberapa hari kerana “faktor logistik berkaitan jadual pemimpin negara yang mengambil bahagian.”
“Mesir sedia menerima seramai mungkin pemimpin bagi memastikan kejayaan sidang kemuncak itu,” katanya.
Sidang kemuncak itu bertujuan untuk “merumuskan pendirian Arab yang padu, kukuh dan kuat mengenai isu Palestin secara umum, menolak rancangan pemindahan yang merupakan idea Israel dan diterima pakai oleh pentadbiran AS serta mengemukakan cadangan umum Arab yang menentang cadangan Amerika ini.
Nnnn