Australia sambung biaya UNRWA

ISTANBUL: Ketika orang ramai sedang kelaparan di Gaza, Australia menyambung semula pembiayaan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA)

Menteri Luar, Penny Wong dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sedang bertindak balas terhadap situasi kemanusiaan yang genting dan semakin teruk di Gaza.

Keputusan untuk menghentikan sementara pembiayaan dibuat berikutan langkah untuk meningkatkan integriti operasi UNRWA.

Selain pembiayaan sebanyak AS$6 juta kepada UNRWA, Canberra membantu Jordan dan UAE dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan penting kepada penduduk Gaza.

Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Australia akan menghantar 140 payung terjun Angkatan Pertahanan Australia untuk digunakan dalam operasi menggugurkan bantuan kemanusiaan.

Keputusan Australia itu sejajar dengan tindakan yang diambil oleh Kanada, Sweden dan EU serta dijangka lebih banyak negara yang menghentikan sementara pembiayaan akan mengambil pendekatan serupa.

Canberra mengakui bahawa hanya UNRWA yang mempunyai infrastruktur untuk menerima dan mengedarkan bantuan dalam skala yang diperlukan di Gaza selain menyeru Israel untuk mengiktiraf mandatnya dan bekerjasama secara telus untuk menyokong integritinya.

Australia juga mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera dan berkekalan di Gaza.

Related posts

Leave a Comment