WBB batal, KKM buat kajian menyeluruh

PUTRAJAYA 24 Jan. – Projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) dibatalkan bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata Jemaah Menteri hari ini membuat keputusan itu selepas mengambil kira segala pertimbangan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, terma-terma rujukan jawatankuasa itu terkait pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja.

“KKM akan meneruskan usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan adil untuk semua, terutama petugas kesihatan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan menangguhkan sistem WBB bagi mengelakkan lebih ramai doktor meninggalkan perkhidmatan di hospital kerajaan.

Katanya, terdapat ketetapan dalam sistem itu jika syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari pukul 3 petang hingga 9 pagi keesokannya, mereka tidak mendapat elaun ‘on call’.

Selain itu media juga melaporkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa KKM supaya menarik balikpekeliling cadangan pelaksanaan WBB, iaitu sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam negara.

HDK dipetik menegaskan, pekeliling WBB harus ditarik balik serta-merta bagi mengelak kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan WBB yang didakwa akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada serta menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

Semalam, MMA mengadakan pertemuan dengan Dr Dzulkefly dan pegawai kementerian untuk membincangkan isu berkaitan petugas penjagaan kesihatan serta penjagaan kesihatan awam.

Presiden MMA,  Dr Kalwinder Singh Khaira, dipetik berkata antara isu yang dibincangkan adalah dasar WBB yang didakwa menyebabkan kekeliruan serta ‘ketegangan’ dalam kalangan doktor dan kumpulan doktor muda sepanjang minggu lalu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment