Ukraine bakal terima pakej ketenteraan

BRUSSELS – Ukraine akan menerima pakej bantuan ketenteraan baharu dari Britain bernilai 225 juta pound (RM1.27 bilion) pada tahun depan termasuk bantuan dron, bot, dan sistem pertahanan udara.

Langkah tersebut dibuat selepas Menteri Pertahanan Britain, John Healey, melawat Kyiv bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Rustem Umerov dan berikrar untuk meningkatkan sokongan kepada Ukraine.

Katanya, tiga tahun selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, kesilapan besar beliau semakin jelas apabila rakyat Ukraine yang berani terus menongkah arus dengan semangat mereka yang tidak tergugat.

Julai lalu, Kerajaan baharu pimpinan parti buruh berikrar untuk memperuntukkan 3 bilion pound setahun dalam bantuan ketenteraan kepada Ukraine sehingga tahun 2030-2031.

Pakej baharu tersebut merangkumi 92 juta pound  untuk kelengkapan memperkukuhkan tentera laut Ukraine termasuk bot kecil, dron peninjau, dan kenderaan permukaan tanpa pemandu.

Selain itu, 68 juta pound akan digunakan bagi kelengkapan pertahanan udara seperti radar, manakala 39 juta pound diperuntukkan untuk membekalkan 1,000 sistem peperangan elektronik anti-dron kepada tentera Ukraine.

Britain juga akan meningkatkan program latihan untuk tentera Ukraine yang dijalankan bersama sekutu utama di tanah Britain, dikenali sebagai operasi interflex.

Related posts

Leave a Comment