KOTA BHARU 8 Dis. – “Saya mahu naikkan hasil pertanian dalam kawasan KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), bukan mahu naikkan atau jatuhkan mana-mana pihak.”. Itu penjelasan Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), juga menafikan pelantikannya sebagai Pengerusi KADA berkuat kuasa 1 Disember lalu sebagai ganjaran sebagaimana dakwaan pihak tertentu.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, berkata beliau sebaliknya diamanahkan dengan tanggungjawab mencapai tujuan dan matlamat ditetapkan kerajaan, khususnya supaya hasil KADA, terutama pengeluaran padi dapat ditingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.
“Pelantikan saya bertujuan mencapai bebeapa tujuan dan matlamat, bukan sebagaimana yang dikatakan segelintir pihak di mana pelantikan ini adalah baksis, iaitu jawatan ini sebagai balasan atau ganjaran.
KADA agensi yang mempunyai tanggungjawab dan amanah besar membangunkan industri pertanian dalam menjamin keterjaminan makanan.
Saya mahu naikkan hasil pertanian dalam kawasan KADA dan saya berharap semua warga agensi ini mempunyai matlamat yang sama,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi KADA, di sini hari ini.
Khalid menggantikan bekas pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain yang menggalas jawatan itu sejak Mei tahun lalu.
Walaupun bukan dari latar belakang pertanian, Khalid yakin mampu menaikkan hasil padi KADA dengan kerjasama semua pihak dan ia juga mandat khusus diberikan kepadanya oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Saya sedar saya bukan berlatarbelakangkan bidang pertanian, sebaliknya dalam bidang kejuruteraan sebelum beralih jadi ahli perniagaan dan ahli politik. Namun saya yakin dengan sokongan KADA, kita boleh bekerjasama mencapai matlamat menteri dan penuhi keperluan negara.
“Hebat macam mana pun seorang individu itu, dia tidak akan dapat capai apa-apa tanpa sokongan padu daripada organisasi. Ketepikan soal politik, yang nak sokong mana-mana parti, Pas atau Bersatu atau UMNO, itu hak masing-masing,” katanya.
Ketika mengumumkan pelantikan itu baru-baru ini, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, pelantikan Khalid berupaya memperkasakan sektor pertanian.
“Bang Mat yakin dengan kewibawaan dan visi Tuan Haji Khalid, Kada akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan sektor pertanian, khususnya di Kelantan, demi manfaat para petani dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Nnn
