KUALA LUMPUR 26 Nov. – Selepas Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mencadangkan Kerajaan Perpaduan menukar portfoilo Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Tiong King Sing, Veteran UMNO juga tampil membuat gesaan yang sama.
Setiausahanya, Mustapha Yaakub dalam kenyataannya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk menggantikan King Sing dengan pemimpin yang lebih berwibawa susulan kontroversi papan tanda dwibahasa.
Beliau menegaskan, amat memalukan apabila seorang menteri yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, sebaliknya membuat kenyataan seolah-olah negara ini tidak aman dan selamat.
Katanya , tiada sebab untuk King Sing meminta maaf kepada pelancong China kerana dakwaan layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.
“Dakwaan King Sing kononnya dia ditanya pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan dan wayang.
Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong yang melancong ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan iklan kepada bahasa pelancong?
“Orang Malaysia yang melawat China bukan sedikit. Tapi papan iklan di pusat beli belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Sebelum ini King Sing dilapor menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrim agama susulan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan tersebut merupakan operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.
Berikutan kenyataan King Sing itu, Mas Ermieyati mencadangkan supaya King Sing ditukar kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga penguatkuasaan, contohnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Nnnn
