688,663 penjawat awam belum miliki rumah

KUALA LUMPUR 26 Nov. –  Dewan Rakyat hari ini diberitahu sejumlah 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam yang masih berkhidmat belum memiliki rumah dengan majoritinya dalam kalangan kumpulan pelaksana.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menjawab bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata daripada jumlah itu, sebanyak 431,277 adalah penjawat awam dalam kumpulan pelaksana.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan sudah melaksanakan program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) bagi membantu mereka khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah di seluruh negara, terutama di bandar utama.

Sehingga kini, sebanyak 36,479 penjawat awam sudah menandatangani Perjanjian Jual Beli menerusi inisiatif PPAM, selain 87 peratus atau 31,942 pembeli adalah kakitangan kerajaan dengan pendapatan bulanan RM5,000 ke bawah.

Beliau yang menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat hari ini berkata data ini menunjukkan kumpulan penjawat awam yang disasarkan sudah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM.

Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM466,657,200 bagi meneruskan pelaksanaan program PPAM di seluruh negara. Penyediaan rumah PPAM ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta supaya sumber negara yang ada dapat digunakan secara optimum.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata Jawatankuasa Khas Tertinggi Perumahan Penjawat Awam (JKT PPAM) pada 22 Jun lalu bersetuju supaya permohonan rumah PPAM dikhususkan kepada penjawat awam lantikan tetap atau kontrak dan pesara sahaja, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Biarpun anak kepada penjawat awam atau pesara tidak layak memohon rumah PPAM, mereka masih berpeluang menjadi pemilik bersama rumah PPAM yang ditawarkan kepada ibu bapa mereka yang juga penjawat awam atau pesara.

“Penjawat awam yang menerima manfaat melalui inisiatif PPAM adalah tertakluk kepada sekatan moratorium, iaitu rumah PPAM dibeli tidak dibenarkan dijual dan dipindah milik selama 10 tahun, mulai dari tarikh perjanjian jual beli ditandatangani,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment