ALOR SETAR 26 Nov. – Biarlah rahsia! Begitu jawapan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang enggan mendedahkan pihak yang didakwa mempunyai rancangan besar bagi menggagalkan pelaburan swasta di Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, belum tiba masanya beliau mendedahkan perkara itu walaupun terdapat pihak yang mahu beliau berbuat demikian.
“Saya tahu perkara itu (pihak yang mahu gagalkan projek pelaburan di Kedah), ada dalam ini (sambil tunjuk ke dadanya) tapi biarlah rahsia,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, mencabar Muhammad Sanusi mendedahkan pihak yang mempunyai rancangan besar mahu menggagalkan pelaburan swasta di Kedah seperti didakwa Menteri Besar itu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya bimbang dakwaan itu hanya sebuah lagi cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen dimainkan Muhammad Sanusi apabila mengeluarkan kenyataan terbabit.
Semalam, Muhammad Sanusi pada sidang DUN mendakwa syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya mereka menarik diri daripada projek yang sudah diumumkan.
Sebagai contoh, katanya, keputusan konglomerat Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion, tanpa mendedahkan punca penarikan.
Sementara itu, Shaiful Hazizy dalam kenyataannya mencabar Menteri Besar mendedahkan siapakah dalang disebalik ‘grand plan’ yang dimaksudkan itu.
“UMNO Kedah melihat ini adalah satu tuduhan tanpa asas semata-mata mahu mencipta persepsi dan sentimen murahan bagi mengaburi kegagalan Kerajaan Negeri mengekalkan pengumuman pelaburan yang sedia gagal,” katanya
Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi tidak lagi boleh mengurus negeri ini melalui cara memainkan sentimen dan mencipta persepsi saja.
“UMNO Kedah berpandangan, kerajaan ini tidak boleh semata-mata ditadbir melalui kaedah perang persepsi dan sentimen semata-mata, tetapi seharusnya realistik dan praktikal demi kelangsungan rakyat.
UMNO Kedah yakin rakyat semakin menyedari strategi politik berselindung dan mengaburi yang sering diamalkan Menteri Besar, cuma kita bimbang politik sedemikian akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri sendiri,” katanya.
Nnn
