IPOH 24 Nov. – Isu UMDAP adalah propaganda politik oleh pihak lawan yang digunakan sebagai jolokan gabungan antara UMNO dan DAP yang sebenarnya tidak pernah wujud, kata Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini dibentuk antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang turut membabitkan DAP.
“Isu UMDAP adalah propaganda daripada lawan politik kita, dan kita mesti konsisten mempertahankan hakikat bahawa UMDAP tidak wujud. Yang wujud ialah BN-PH. DAP adalah sebahagian daripada PH sama seperti MCA, MIC, dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) yang menjadi sebahagian daripada BN.
Apabila saya dan Perdana Menteri menekankan agenda Islam atau Melayu sebagai agenda nasional termasuk arahan supaya saya mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera, tidak ada tentangan daripada DAP kerana agenda Bumiputera adalah agenda nasional.
“DAP menyokong agenda ini termasuklah di peringkat Kabinet. Kita tidak boleh terjerumus dalam dakyah pembangkang,” kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika merasmikan Konvensyen BN Perak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad; Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, BN terhutang budi kepada PH kerana keikhlasannya untuk bekerjasama dalam kerajaan.
Walaupun BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, katanya gabungan itu diberikan tujuh jawatan penuh menteri dan enam jawatan timbalan menteri, berbanding DAP yang memenangi 40 kerusi tetapi hanya diberi lima jawatan penuh menteri.
“Inilah realiti politik baharu. Kerajaan Perpaduan tidak mula-mula wujud di Putrajaya tetapi di Perak. Kedudukan Saarani sebagai Menteri Besar mencerminkan keikhlasan sekutu PH.
“Begitu juga dengan Pahang. BN memegang lebih sedikit kerusi berbanding PH, tetapi Alhamdulillah, Datuk Seri Wan Rosdy terus disokong PH untuk berkhidmat sebagai Menteri Besar di Pahang,” katanya.
Nnn
