SEPANG 24 Nov. – Pemuda Pas Selangor menzahirkan rasa kesal atas kenyataan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing yang tidak bersetuju dengan langkah penguatkuasaan papan tanda dwibahasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ketuanya Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan itu menunjukkan sikap yang tidak menghargai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru Pemuda mendesak menteri berkenaan menarik balik kenyataan tersebut dan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana dasar yang memperkukuhkan martabat bahasa Melayu.
“Jika tidak, beliau dilihat gagal memahami sensitiviti rakyat dan nilai kenegaraan yang menjadi asas kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan King Sing yang mendajwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara dan mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Mohamed Sukri berkata, sebagai simbol identiti negara dan tunjang perpaduan, memastikan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda, khususnya dalam sektor awam, adalah wajar bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Sebagai menteri, sepatutnya beliau menyokong usaha yang bertujuan memelihara warisan kebangsaan dan memastikan pelancong asing menghormati budaya serta bahasa tempatan.
Pandangan yang meremehkan penguatkuasaan ini dilihat seolah-olah mengabaikan peranan bahasa Melayu dalam membentuk jatidiri negara,” katanya.
Pemuda Pas Selangor juga menegaskan bahawa penggunaan dwibahasa, dengan keutamaan diberikan kepada bahasa Melayu, bukanlah satu bentuk diskriminasi, tetapi untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air sendiri.
“Pelancong asing boleh dibantu dengan terjemahan, tetapi asas kepada pembangunan negara tetap bermula dengan menghormati bahasa kita,” katanya.
Nnnn
