Soal dalam UMNO biar UMNO tentukan

KOTA KINABALU 19 Nov. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin tidak terpanggil untuk menjawab komen dari badan bukan kerajaan (NGO) yang disifatkannya sebagai tidak berwibawa dan berat sebelah.

Justeru katanya, beliau tidak tergugat dengan desakan yang memintanya meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes rasuahnya.

“Soal dalam UMNO biarlah UMNO yang tentukannya. Kes saya bukan kes baharu, ianya telah berjalan bertahun-tahun,” katanya dalam maklum balas yang dikongsikan kepada media.

Beliau mengulas desakan pihak tertentu yang memintanya meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Sabah selepas Mahkamah Rayuan, semalam memerintahkan kes rasuahnya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.

Berikutan itu, beliau dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad, perlu membela diri.

Susulan itu, Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang juga bekas aktivis UMNO, Zulkarnain Mahdar, menyuarakan agar Bung Moktar mengundur diri dan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes mahkamah yang dihadapinya.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata kes mahkamah yang dihadapinya tidak mengganggu kedudukan beliau untuk menjalankan tugas selaku Ketua UMNO Sabah.

“Kepada semua penyokong UMNO – BN, bertenang dan jangan terganggu dengan keadaan yang berlaku, sentiasa fokus kepada memperkasakan parti. Insya-Allah yang benar pasti akan mengatasi perkara yang tidak benar,” katanya.

Sebelum ini, kepemimpinan UMNO Sabah turut menyatakan sokongan kepada Bung Moktar dan menghormati proses undang-undang yang dilalui pemimpin berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir, menegaskan menerusi prosiding Mahkamah Rayuan semalam, Bung Moktar belum dan bukannya disabitkan bersalah, sebaliknya hanya diminta membela diri untuk menyelesaikan proses undang-undang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment