KUALA LUMPUR 13 Okt. – – Ahli Parlimen dilarang menggunakan perkataan ‘kurang ajar’ sepanjang berbahas di Dewan Rakyat, bermula hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, menyifatkan perkataan itu tidak berparlimen dan meminta ahli Parlimen mengambil serius perkara berkenaan.
“Berhubung perkataan kurang ajar, selepas meneliti semua perkara yang terjadi di Dewan ini dan setelah merujuk kepada Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran 2007 edisi empat muka surat 854.
“Kurang ajar bermaksud tidak sopan atau buruk, atau kasar budi pekertinya. Oleh yang demikian, mulai hari ini saya tidak membenarkan mana-mana ahli Yang Berhormat menggunakan perkataan kurang ajar, saya takrifkan perkataan ini sebagai ‘unparliamentary’.
“Saya harap Yang Berhormat mengambil perkara ini secara serius. Selain daripada itu, ia bukan takrifan saya. Kurang ajar tidak dibenarkan digunakan di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketetapan itu dibuat Johari sebagai maklum balas terhadap surat ditulis Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) minggu lalu, yang memohon penjelasan berkenaan penggunaan perkataan ‘jangan kurang ajar’.
Selepas membuat ketetapan itu, Ahmad bin Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) bangkit meminta penjelasan Dewan Rakyat, terhadap penggunaan perkataan ‘jangan kurang ajar’.
Johari bagaimanapun berkata, ahli Parlimen diminta memilih perkataan lain kerana penggunaan ayat itu boleh menimbulkan masalah.
“Isunya, pilihlah perkataan lain sebab ia akan menimbulkan masalah sebab saya katakan perkataan itu sendiri yang dinyatakan dalam kamus, ia melambangkan seseorang itu buruk budi pekertinya atau tidak sopan,” katanya.
Oktober tahun lalu, Johari meminta semua wakil rakyat berhenti menggunakan perkataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘yahudi’ bagi merujuk mana-mana Ahli Parlimen sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.
Beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.
Nnn.
