ADUN Kuala Kubu Bharu meninggal dunia

SHAH ALAM 21 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, 58 meninggal dunia pagi ini selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.

Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi dan mempertahankannya lima tahun kemudiannya dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Dalam pada itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

Katanya, pemergian ADUN itu adalah kehilangan besar kepada pelbagai pihak dan pasti dirasai terutamanya oleh penduduk Kuala Kubu Baharu yang sudah lama diwakili dan dibantu Kee Hiong sejak sebelum dia menjadi wakil rakyat.

“Mewakili Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Puan Lee Kee Hiong, serta seluruh sahabat dan anggota dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kehilangan tokoh berpengalaman.

Semoga mereka diberikan kekuatan mengharungi detik mencabar ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menerusi Facebooknya pagi ini berkata, Kee Hiong akhirnya pergi dan tidak perlu lagi merasa kesakitan dan penderitaan.

Nie Ching turut menzahirkan penghargaan atas kerja keras Kee Hiong selama ini.

“Akhirnya masa untuk mengucapkan selamat tinggal. 16 Mac lalu ialah hari lahir anda yang ke-58 dan kini anda berada di negeri yang bebas penyakit,” katanya.

Related posts

Leave a Comment