KUALA LUMPUR 13 Nov. – Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Daim Zainuddin sebagai kehilangan sahabat yang bersama berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
Bekas Perdana Menteri itu menzahirkan kesedihan tidak terhingga selepas mengetahui sahabatnya meninggal dunia pagi ini ini.
“Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan. Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab. Tanpa sebab kerana dendam.
“Inikah balasan yang menimpa kerana dendam.
Ya Allah. Adililah Daim berasaskan keadilan. Berikan tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya Rabbal Alamin,” katanya menerusi catatan di platform X hari ini.
Allahyarham rapat dengan Dr Mahathir apabila dilantik sebagai perunding perniagaan kepadanya yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
Kemudian, Daim terus mendapat kepercayaan apabila dilantik sebagai Senator dan kemudiannya Menteri Kewangan menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah pada era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.
Daim yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999 – 2001. Selepas itu beliau dikatakan bersara daripada politik dan ‘kelibatnya’ terus hilang dan tidak lagi menonjolkan diri.
Nama Daim ‘muncul’ semula pada 2018 sewaktu Dr Mahathir sekali lagi dilantik menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Daim yang digelar ‘orang kanan’ Dr Mahathir membuat kemunculan semula dalam ‘arena’ politik dan pentadbiran negara apabila bekas Menteri Kewangan itu diberi tanggungjawab mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan.
Nnn
