KUALA LUMPUR 12 Nov. – Penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit kes buli ke atas seorang pelajar junior yang ditekap dengan seterika, baru-baru ini berkemungkinan diberhentikan pengajian.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, berkata siasatan berkait insiden itu sudah pun selesai dijalankan dan lembaga siasatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memutuskan hukuman ke atas pelajar terbabit hari ini.
Beliau menegaskan, tidak ada kompromi dalam soal disiplin kerana ‘ragging’ orientasi bukan satu perkara yang baharu di mana-mana, namun tidak pernah melibatkan soal kekerasan.
“Oleh itu, mana-mana (kes buli) yang melibatkan kekerasan, kita tidak akan kompromi untuk mengambil tindakan tegas termasuklah berhentikan mereka daripada menjadi seorang kadet dan kita akan menuntut dibayar balik segala tanggungan (biasiswa) yang kita berikan sepanjang menjalani latihan sebagai kadet,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Isham Ishak.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan beberapa langkah drastik bagi mencegah berlaku kes buli di ALK UPNM dengan mengasingkan pelajar Tahun 1 dengan pelajar senior.
Beliau berkata pengasingan itu membabitkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan serta pengasingan ‘roll call’ antara pelajar senior dan junior.
Menurutnya, pengasingan bilik penginapan antara pelajar senior dan pelajar tahun 1 itu dilaksanakan bermula Januari lalu manakala pengasingan aras tempat tinggal dan ‘roll call’ dimulakan pada Oktober lalu.
“Kita juga memasang kamera litar tertutup di semua blok penginapan dan jumlah CCTV akan ditambah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti sebarang kelemahan yang mungkin wujud di pihak pentadbiran ALK yang di bawah bidang kuasa MINDEF.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan adalah tidak wajar melabelkan UPNM dengan pelbagai gelaran susulan beberapa kes buli membabitkan pelajar ALK yang menjalani pengajian di universiti terbabit.
Beliau berkata, kes buli berkenaan berlaku dan membabitkan penuntut ALK, bukannya berlaku di kawasan UPNM sebaliknya di kawasan penginapan dan latihan kadet ALK yang terletak berasingan dari kampus UPNM.
Jelasnya, keseluruhan pelajar UPNM adalah seramai 4,200 dengan 957 daripadanya atau satu per empat adalah kadet ALK yang pengajian mereka ditaja oleh MINDEF dan selebihnya adalah pelajar awam.
Nnn
